EISKL 2022 medan pacu ekonomi industri sukan negara
Sinar Harian
September 3, 2022 09:00 MYT
September 3, 2022 09:00 MYT
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan menganjurkan Ekspo Industri Sukan Kuala Lumpur 2022 (EISKL 2022) di tempat letak kereta A dan B Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, pada 6 hingga 9 Oktober ini.
Jurucakap Sekretariat Industri Sukan, EISKL 2022 merupakan satu platform bagi kementerian menonjolkan potensi dan sumbangan industri sukan terhadap pembangunan ekonomi negara.
Jelasnya, EISKL 2022 menghimpunkan semua penggiat dan pemain industri sukan terdiri dari pelbagai segmen antaranya peruncitan, pengurusan fasiliti, pengeluar barangan sukan, perunding acara, teknologi, perubatan dan pelancongan sukan.
Selain itu katanya, EISKL 2022 turut menampilkan pelbagai acara menarik seperti ekspo pameran dan jualan peralatan, produk, perkhidmatan sukan, persidangan industri sukan, penganjuran sukan massa dan bermacam acara sampingan yang menarik serta karnival jualan trak makanan.
Dengan tema Industri Sukan Pemangkin Ekonomi Negara, EISKL 2022 dijadual dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
“KBS melalui Sekretariat Industri Sukan yang dipertanggungjawabkan bagi menganjurkan EISKL 2022 akan dibantu agensi-agensi di bawah KBS serta rakan penganjur dan strategik lain dari organisasi swasta, NGO, dan pusat pengajian tinggi awam,” katanya.
Organisasi korporat, syarikat berkaitan sukan, agensi kerajaan, persatuan sukan, NGO, pusat pengajian tinggi dan orang ramai yang berminat dipelawa untuk menyertai EISKL 2022 melalui pembelian booth jualan, menyertai persidangan serta pelbagai acara yang ditawarkan pada ekspo ini.
Kepada yang ingin mengetahui maklumat lanjut boleh menghubungi Sekretariat Industri Sukan Ahmad Saferi Saari (012-5352846) atau Azizi Azran Abdullah (019-9503206). -Sinar Harian