The Edge: NGO anjur himpunan besar solidariti media 8 Ogos ini
Haider Yutim
Julai 25, 2015 15:41 MYT
Julai 25, 2015 15:41 MYT
Sebuah perhimpunan besar bakal diadakan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) media Ogos depan sebagai tanda solidariti kepada kumpulan media The Edge yang digantung penerbitan akhbar harian dan mingguannya bermula Isnin ini.
Menurut sebuah kenyataan bersama Gerakan Media Marah (Geramm), Institute of Journalists (IoJ), Reporter Sans Frontiers (RSF), Center for Independent Journalism (CIJ) dan Foreign Correspondents Club of Malaysia, lokasi perhimpunan itu akan diadakan di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun mereka masih belum memuktamadkan lagi lokasi spesifik perhimpunan tersebut.
Selain itu, sebuah himpunan solidariti turut akan diadakan di pejabat The Edge pada Jumaat, 31 Julai 2015.
Mereka juga menggesa semua pengamal media supaya turut bersama dengan menurunkan tandatangan pada sidang akhbar yang bakal diadakan pada hari tersebut, menggunakan hashtag #AtTheEdge menggantikan nama sendiri.
Menurut kenyataan itu, hashtag tersebut turut akan digunakan bagi kesemua kempen berkaitan solidariti terhadap The Edge termasuk di media sosial.
"Selain tindakan-tindakan segera ini, kami juga mengulangi gesaan untuk kerajaan memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Hasutan - undang-undang yang dilihat menyekat kebebasan media dan bersuara di Malaysia," kata kenyataan itu.
Mereka juga menggesa supaya dihentikan campur tangan politik dalam hal ehwal media, dan akses kepada tidak dikekang oleh mana-mana undang-undang atau proses.
"Apa yang berlaku terhadap The Edge bukanlah sesuatu yang baharu dan tidak akan menjadi yang terakhir, melainkan jika kita bersuara menentangnya secara kolektif," tegas kenyataan itu lagi.
Geramm hari ini bersama beberapa NGO seperti Bersih 2.0, Jaringan Orang Asli Semenanjung (JAOS) dan Teoh Beng Hock Trust Democracy telah menghantar bunga kepada kumpulan media The Edge tersebut.
Pada Jumaat, The Edge dalam satu kenyataan berkata, KDN melalui satu surat telah menyatakan laporan mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh kedua-dua penerbitan tersebut memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan atau mungkin menimbulkan pendapat umum atau mungkin memudaratkan kepentingan awam dan negara.
Penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Media The Edge, Ho Kay Tat berkata beliau kecewa dengan keputusan itu.
Kay Tat turut berkata The Edge akan membawa kes itu ke mahkamah untuk menarik balik penggantungan tersebut.
Dalam pada itu, Kumpulan Media The Edge akan berusaha untuk menarik balik status penggantungan dua penerbitannya The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily dengan mengunakan saluran undang-undang termasuk dengan membawa kes itu ke mahkamah.