The Edge: Laporan isu 1MDB berdasarkan sumber diragui - Peguam Kanan
Bernama
September 7, 2015 21:30 MYT
September 7, 2015 21:30 MYT
Laporan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah berdasarkan sumber yang diragui, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.
Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke, yang mewakili Kementerian Dalam Negeri juga berkata laporan oleh dua penerbitan itu bersifat provokasi, mencetuskan kontroversi dan berkecenderungan untuk mempengaruhi pembaca.
"Berikutan laporan provokasi mengenai 1MDB dan bahaya yang mungkin timbul daripada laporan itu, menteri menjelaskan adalah penting untuk menyiasat sumber maklumat yang diterima oleh pemohon.
"Beliau perlu pastikan bahawa dalam menerbitkan artikel mengenai 1MDB, pemohon bergantung pada sumber-sumber yang sahih. Oleh kerana 1MDB telah menarik banyak kritikan dan komen negatif, perintah penggantungan dibuat demi kepentingan awam untuk mencegah peningkatan rasa khuatir dalam kalangan orang awam, terutamanya sentimen ini telah didorong oleh berita berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada sumber yang diragui. Keadaan ini mungkin akan menjejaskan ketenteraman awam," katanya dalam hujahan beliau di hadapan Hakim Datuk Asmabi Mohamad.
Pada 5 Ogos, The Edge Communications Sdn Bhd memperoleh kebenaran untuk memohon semakan kehakiman berhubung penggantungan dua penerbitannya, The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily oleh Kementerian Dalam Negeri.
Loke juga berkata laporan The Edge Communications Sdn Bhd mengenai 1MDB seolah-olah menunjukkan bahawa hanya terdapat satu kesimpulan iaitu sama ada berlaku salah pengurusan.
"Menteri dengan itu, bertindak wajar apabila membuat keputusan untuk menggantungnya. Orang ramai berhak untuk tahu hasil siasatan yang telahpun bermula, dan bukannya membuat kesimpulan awal dan tidak matang berdasarkan apa yang dibaca dalam laporan provokasi berhubung isu itu," katanya.
Lagipun, katanya pemohon telah gagal menjawab notis yang meminta keterangan tentang sumber kepada maklumat diperoleh pemohon bagi artikelnya mengenai 1MDB.
Sementara itu, peguam Darryl Goon, mewakili The Edge Communications Sdn Bhd, berhujah keputusan menteri untuk menggantung penerbitan itu bagi tempoh tiga bulan adalah tidak sah di sisi undang-undang, ultra vires dan bercanggah dengan perlembagaan.
Katanya keputusan itu juga tidak rasional kerana seorang menteri yang munasabah tidak akan membuat kesimpulan bahawa artikel mengenai tadbir urus kerajaan, iaitu kemungkinan berlaku salah pengurusan dalam syarikat (1MDB), boleh menimbulkan prejudis terhadap ketenteraman awam, keselamatan atau kemungkinan akan menjejaskan pendapat orang ramai dan prejudis terhadap kepentingan awam.
"Keputusan untuk menggantung penerbitan itu dibuat oleh menteri atas dasar penerbitan The Edge mengandungi perkara yang bercanggah dengan Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA).
"Mengikut Seksyen 7(1), sesuatu penerbitan yang tidak sewajarnya hanya boleh dilarang menerusi perintah oleh menteri yang diterbitkan dalam satu warta. Dalam kes ini, ia tidak dilakukan. Keputusan untuk menggantung, dengan itu tidak sah kerana tidak berlaku pelanggaran dan kemungkinan berlakunya sebarang pelanggaran terhadap Seksyen 7(1) seperti didakwa dalam surat penggantungan itu," kata Goon.
Beliau berhujah penerbitan mengenai 1MDB oleh pemohon pada hakikatnya adalah demi kepentingan awam, dan bukan sebaliknya.
Syarikat telah memfailkan permohonan untuk kebenaran bagi semakan kehakiman pada 27 Julai, dengan menamakan ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Menteri Dalam Negeri sebagai responden.
The Edge Communications Sdn Bhd memohon kebenaran itu untuk memulakan prosiding di bawah Perintah 53, Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Mahkamah 2012 bagi perintah certiorari untuk mahkamah membatalkan keputusan Menteri Dalam Negeri itu.
Syarikat itu juga memohon perintah sementara bagi penangguhan pelaksanaan perintah keputusan itu, sementara menunggu sehingga selesainya pendengaran bagi permohonan itu dan kos.
Menteri Dalam Negeri, dalam surat bertarikh 23 Julai yang ditandatangani oleh Hashimah Nik Jaafar bagi pihak menteri, memaklumkan syarikat itu tentang penggantungan permit penerbitan bagi kedua-dua penerbitan.
Menurut surat yang dihantar kepada editor kanan pengurusan syarikat itu, Ahmad Azam Mohd Aris, kementerian menyatakan artikel mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh The Edge boleh memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan dan kepentingan negara.
Ia juga menyatakan kegagalan untuk mematuhi perintah penggantungan itu akan membawa kepada pembatalan permit penerbitan bagi kedua-dua penerbitan itu.
Mahkamah menetapkan 21 Sept untuk keputusan.