The Edge fail permohonan semakan kehakiman terhadap KDN

Astro Awani
Julai 27, 2015 10:41 MYT
KDN pada Jumaat lepas menggantung penerbitan dua akhbar yang diterbitkan oleh kumpulan media itu berkuatkuasa hari ini dengan alasan antara lain kerana "memprejudiskan ketenteraman awam". - Gambar Fail
Kumpulan Media The Edge hari ini memfailkan permohonan untuk satu semakan kehakiman terhadap keputusan Kementerian Dalam Negeri menggantung dua penerbitan syarikat itu, The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily.
Permohonan itu difailkan melalui peguamnya Tetuan Raja, Darryl & Goh.
"Kami juga meminta permohonan ini didengar dengan segera," kata syarikat itu dalam satu kenyataan media.
Ia juga berharap mahkamah akan menetapkan satu tarikh yang segera memandangkan isu tersebut melibatkan kepentingan awam.
Kumpulan media The Edge dalam kenyataan sama menyebut ia tidak akan mendedahkan salinan afidavit permohonan sehingga permohonan tersebut didengar.
KDN pada Jumaat lepas menggantung penerbitan dua akhbar yang diterbitkan oleh kumpulan media itu berkuatkuasa hari ini dengan alasan antara lain kerana "memprejudiskan ketenteraman awam".
Pada Sabtu, KDN telah mengeluarkan kenyataan tiga sebab mengapa tindakan penggantungan kedua-dua akhbar terbitan The Edge itu diambil.
Pertama, tajuk dan cara pelaporan serta pemberitaan kedua-dua penerbitannya menimbulkan persoalan dan persepsi negatif kepada masyarakat terhadap syarikat 1MDB yang seterusnya berkait dengan kerajaan serta kepimpinan negara.
Kedua, laporan yang diterbitkan memetik sumber maklumat yang diragukan dan belum ditentukan kesahihannya, dan yang mungkin memberi kemudaratan kepada ketenteraman awam serta kepentingan negara.
Ketiga, isu berkaitan 1MDB ini sedang disiasat oleh pasukan penyiasat yang telah ditubuhkan.
Kumpulan NGO, Gerakan Media Marah (Geramm) pada Sabtu telah mengadakan perjumpaan di ibu pejabat The Edge yang terletak di Petaling Jaya, Selangor bagi menyatakan sokongan mereka terhadap The Edge.
#Darryl & Goh #Kementerian Dalam Negeri #the edge #The Edge Financial Daily #The Edge Weekly