The Edge ESG Awards kayu ukur prestasi ESG syarikat, firma

Nabilah Khaleeda
Disember 4, 2022 16:34 MYT
Tan Zhai Yun: Melalui majlis anugerah ini, syarikat-syarikat atau firma-firma pengurusan aset akan lebih faham struktur ESG yang mereka usahakan dan sejauh mana tahap keberkesanannya. Foto ihsan The Edge
KUALA LUMPUR: The Edge ESG Awards 2022 mengiktiraf syarikat senaraian awam (PLC) dan firma pengurusan aset di Malaysia yang mengamalkan serta menerajui konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan baik.
Dalam masa yang sama, penghargaan ini bertujuan menggalakkan lebih banyak syarikat di Malaysia untuk menerapkan konsep ESG selain menyedarkan mereka akan kepentingan amalan ini.
Menurut Tan Zhai Yun (Nat), Pengarang The Edge bahagian ESG, dengan adanya majlis anugerah ini, syarikat-syarikat atau firma-firma pengurusan aset akan lebih memahami struktur ESG yang mereka usahakan dan sejauh mana tahap keberkesanannya.
“Mereka akan lebih mengetahui corak perjalanan ESG syarikat atau firma mereka sekali gus mampu untuk mengklasifikasikan usaha mereka mengikut kategori alam sekitar (E), sosial (S) atau tadbir urus (G).
“Pelabur, pengguna dan mana-mana pihak berkepentingan juga akan mempunyai pemahaman yang jelas tentang apa yang dilakukan oleh syarikat dan firma di bawah setiap kategori tanpa perselindungan,” tambahnya.
Beliau berkata demikian dalam temubual sebuah program Astro AWANI, Notepad with Ibrahim Sani pada Khamis.
Terdahulu, majlis The Edge ESG Awards diadakan pada malam Isnin, 28 November 2022 buat julung kalinya dengan menyaksikan sebanyak 65 anugerah diberikan kepada 44 syarikat.
Anugerah terbahagi kepada dua kategori utama iaitu ekuiti, hasil kerjasama bersama Bursa Malaysia Bhd dan FTSE Russell.
Anugerah kedua, dana dilaksanakan bersama rakan kongsi pengetahuan, Morningstar manakala Deloitte sebagai juruaudit, UOB Malaysia rakan kongsi utama anugerah, dan Astro AWANI sebagai penyiar rasmi.
Notepad with Ibrahim Sani: The Edge ESG Awards 2022
#the edge #ESG #The Edge ESG Awards 2022 #alam sekitar sosial dan tadbir urus
;