Edar salinan cetak rompak buku Tommy Thomas, syarikat penerbitan beri amaran ambil tindakan
Hilmi Malik
Februari 1, 2021 20:43 MYT
Februari 1, 2021 20:43 MYT
KUALA LUMPUR: Syarikat penerbitan buku tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas memberi amaran untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengedarkan salinan cetak rompak buku berkenaan dalam bentuk PDF.
GB Gerak Budaya dalam satu kenyataan pada Isnin, menegaskan pihak terbabit perlu segera menghentikan penyebaran salinan digital buku berjudul ‘My Story Justice in The Wilderness’ secara dalam talian itu.
“Buku berkenaan hanya boleh didapati dalam bentuk fizikal dan kita menggesa agar pengedaran cetak rompak dalam bentuk PDF dapat segera dihentikan.
“Kandungan versi digital buku itu kekal peribadi dan sulit,” kata kenyataan tersebut.
Tegasnya, pihak penerbitan akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya perbuatan itu masih diteruskan.
Kenyataan tersebut menyusul selepas buku yang dilancarkan dua hari lalu dikatakan telah kehabisan stok berikutan mendapat permintaan yang tinggi.
Buku yang mengandungi 500 muka surat itu antara lain memaparkan kisah kejayaan dan kegagalan sewaktu pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan dari perspektif Tommy.
Ia termasuk melibatkan beberapa isu antaranya, krisis 1MDB; kontroversi pendakwah bebas, Dr Zakir Naik serta kisah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang melepaskan jawatannya.
#Pakatan Harapan
#1MDB
#Tommy Thomas
#Peguam Negara
#Perdana Menteri
#Buku
#penerbit
#pengedar
#Cetak rompak