Edar ganja: Ahli perniagaan terlepas tali gantung, diganti penjara 30 tahun, 12 sebatan

Bernama
Jun 20, 2024 21:30 MYT
Panel tiga hakim dalam keputusan sebulat suara mengetepikan hukuman mati terhadap Mohammad Firdaus Mohsin, 40, yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 3 Dis 2021. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Seorang ahli perniagaan terlepas daripada tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menggantikan hukuman itu dengan penjara 30 tahun kerana mengedar 9.528 kilogram (kg) ganja, tujuh tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof dalam keputusan sebulat suara mengetepikan hukuman mati terhadap Mohammad Firdaus Mohsin, 40, yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 3 Dis 2021.
Mahkamah turut mengesahkan sabitan Mohammad Firdaus atas kesalahan mengedar dadah dan menolak rayuannya terhadap sabitan tersebut serta dikenakan 12 sebatan.
"Hukuman mati diketepikan dan digantikan dengan hukuman penjara 30 tahun,"kata Zabariah yang bersidang bersama-sama Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.
Pada 3 Dis 2021, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati terhadap Mohammad Firdaus selepas diapati bersalah mengedar dadah itu di tepi jalan Jalan Bukit berhadapan Stesen Kereta Api KTMB Kajang, Selangor pada jam 10 malam pada 28 Mac 2017.
Pada 2 Ogos tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan serta hukuman mati.
Mengikut fakta kes, seorang pegawai polis menemukan beberapa keping ganja mampat dalam beg dibawa Mohammad Firdaus.
Dalam pembelaannya, Mohammad Firdaus mendakwa beg itu bukan miliknya, tetapi milik seorang pemandu Uber dan sedang menjaga beg itu sementara menunggu pemandu itu parkir keretanya.
Dia mendkwa datang ke Kuala Lumpur dari Pulau Pinang untuk menghadiri majlis dan sedang menunggu bapa saudaranya membawanya ke rumah (bapa saudara) di Sungai Ramal, Kajang.
.Semasa perbicaraan, pemandu Uber, Mohd Sabri Salleh, memberi keterangan bahawa dia menerima tempahan Mohammad Firdaus melalui aplikasi Uber untuk menghantarnya dari KL Sentral ke stesen KTMB Kajang.
Katanya, dia melihat Mohammad Firdaus membawa beg itu dan meletakkannya sebelahnya (Muhammad Foirdaus) di tempat duduk belakang kereta.
Mohamad Firdaus diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Nur Mustahir Md Nor dan pihak pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Zulkpli Abdullah.
-- BERNAMA
#edar ganja #ahli perniagaan #terlepas tali gantung #Mohammad Firdaus Mohsin
;