Edar dadah: Penjual sarang burung terlepas hukuman gantung
Bernama
September 30, 2022 20:33 MYT
September 30, 2022 20:33 MYT
PUTRAJAYA: Seorang bekas penjual sarang burung terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan di sini mengetepikan sabitan dan hukuman mati atas dua tuduhan mengedar dadah.
Panel tiga hakim yang dianggotai Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Datuk Seri Kamaludin Md Said dan Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin serta Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membenarkan rayuan Tan Chen Xing selepas mendapati terdapat merit dalam rayuannya.
Dalam keputusan mahkamah itu, Hakim Kamaludin yang mengetuai panel berkata sabitan Tan untuk mengedar dadah tidak selamat untuk dikekalkan selepas Hakim Mahkamah Tinggi mendapati tiada penemuan komprehensif ke atas bukti.
Mahkamah juga mengetepikan sabitan Tan dan hukuman penjara ke atas dua tuduhan memiliki 0.06 gram nimetazepam dan 299.2 gram racun phenazepam tanpa lesen yang sah.
Bagi pertuduhan mengedar dadah, Tan didakwa mengedar 361.8 gram ketamin dan 156.52 gram methamphetamine.
Tan didakwa melakukan kesalahan itu di kondominium di Lebuh Minden 1, Gelugor, Pulau Pinang pada 4 petang 10 Nov, 2016.
Pada 2020, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mendapati Tan bersalah atas pertuduhan tersebut dan beliau dijatuhkan hukuman mati kerana mengedar dadah.
Bagi kesalahan memiliki nimetazepam pula, Tan dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan satu tahun kerana memiliki phenazepam.
Peguam Hussaini Abdul Rashid yang mewakili Tan dalam hujahnya berkata Hakim Mahkamah Tinggi gagal untuk mempertimbangkan bahawa terdapat lima individu yang mendiami kondominium itu dan bukan anak guamnya sahaja yang mempunyai akses kepada premis tersebut.
Beliau berkata Tan tinggal di bilik ketiga rumah itu dan bukan di bilik pertama di mana dadah dadah itu ditemukan.
Hussaini berkata anak guamnya dikehendaki ke penjara semula untuk menjalani 10 sebatan sebelum dia dibebaskan.
Beliau berkata Tan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen selepas dia mengaku bersalah memiliki dadah di dalam poketnya.
Hussaini berkata Tan telah lengkap menjalani hukuman penjaranya tetapi belum menjalani hukuman sebatan itu.
-- BERNAMA