Edar dadah: Mahkamah Rayuan kekal hukuman mati dan penjara terhadap kelindan lori

Bernama
Julai 29, 2022 15:34 MYT
Banyak bukti yang menunjukkan Santanasamy mempunyai jagaan dan kawalan dadah tersebut. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Seorang kelindan lori gagal dalam usaha untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati atas kesalahan mengedar 83.03 gram Methamphetamine empat tahun lepas setelah Mahkamah Rayuan menolak rayuannya.
M. Santanasamy, 45, juga tidak berjaya dalam rayuannya untuk mengetepikan sabitan, hukuman penjara dan sebatan rotan yang dikenakan terhadapnya atas dua lagi pertuduhan memiliki dadah.
Panel tiga hakim terdiri daripada hakim Mahkamah Rayuan Datuk Kamaludin Md Said, Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah menolak rayuan Santanasamy.
Kamaludin berkata terdapat banyak bukti yang menunjukkan Santanasamy mempunyai jagaan dan kawalan dadah tersebut.
Beliau berkata sabitan Santanasamy adalah selamat dan menolak rayuannya.
Santanasamy mempunyai satu lagi peluang untuk merayu iaitu di Mahkamah Persekutuan.
Dia dituduh di Mahkamah Tinggi bersama K. Thierruselvan dan S. James atas pertuduhan mengedar 83.03 gram Methamphetamine, memiliki 7.48 gram ganja dan 10.13 gram heroin.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Sri Rampai, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, kira-kira jam 11.40 pagi, 14 Februari 2018.
Pada 14 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi mensabitkan Santanasamy atas kesalahan mengedar dan menjatuhkan hukuman mati.
Dia juga didapati bersalah dan dijatuhi hukuman 11 tahun dan 10 sebatan kerana memiliki ganja dan dua tahun penjara kerana memiliki heroin.
Mahkamah Tinggi bagaimanapun melepas dan membebaskan Thierruselvan, 38, dan James, 43, atas kesalahan mengedar dan memiliki ganja.
Mereka telah disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara dua tahun kerana memiliki heroin. Mereka tidak merayu ke Mahkamah Rayuan.
Peguam S.S Ruban mewakili Santanasamy manakala Timbalan Pendakwa Raya Datin Asmah Musa dan Wong Poi Yoke untuk pendakwaan.
-- BERNAMA
#edar dadah #kelindan lori #hukuman mati #mahkamah
;