Edar dadah: Dua sahabat bakal ke tali gantung

Adie Sufian Zulkefli
Februari 11, 2021 08:32 MYT
Kedua-dua tertuduh berhadapan hukuman gantung selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kangar atas tuduhan mengedar dadah pada 1 Februari lalu. - Gambar Astro AWANI
KANGAR: Dua sahabat berhadapan hukuman gantung selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kangar, hari ini atas tuduhan mengedar dadah pada 1 Februari lalu.
Tertuduh, Sukhon Ewon, 40, dan Fazeri Din, 51, yang bekerja sebagai tukang masak dan pemandu lori hanya mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Kamaliza Md Zain.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Mengikut kertas pertuduhan, Sukhon bersama seorang yang masih bebas dikenali Amnat Ratsamee, 25, didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu kanabis anggaran berat 100 kilogram (kg) di dalam kereta Proton Persona di sebuah rumah di Jalan Kilang Gula, Kampung Batu Bertangkup, Mata Ayer pada jam 7.10 pagi, 1 Februari lalu.
Bagi pertuduhan kedua, Fazeri dan Sukhon bersama Amnat yang masih bebas dituduh mengedar dadah berbahaya iaitu kanabis dengan anggaran berat 150,150 gram (150.15kg) pada jam 7.55 pagi, tarikh sama di lokasi serupa.
Dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati serta harta dirampas.
Pendakwaan dikendalikan Inspektor Mohd Zulfadzli Salehen dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar, manakala Fazeri diwakili peguam, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim dan Syed Saifulizan Syed Abd Razak.
Sukhon bagaimanapun tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 13 April depan untuk sebutan semula kes.
#dua sahabat #bakal ke tali gantung #hukuman gantung #mengedar dadah #Mahkamah Majistret Kangar #Akta Dadah Berbahaya 1952 #Seksyen 34 Kanun Keseksaan