Edar dadah, bapa anak satu dipenjara seumur hidup, 15 sebatan

Sinar Harian
Oktober 18, 2023 15:13 MYT
Mahkamah memerintahkan hukuman jel bermula tarikh sabitan dan mengarahkan tertuduh yang bekerja sendiri itu disebat 15 kali. - Gambar/ Sinar Harian
SHAH ALAM: Seorang isteri menangis teresak-esak selepas suaminya terlepas hukuman gantung sampai mati apabila Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu menjatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana mengedar dadah jenis kanabis seberat 495.2 gram, tiga tahun lalu.
Hakim Suzana Muhamad Said menjatuhi Muhammad Irsyad Adzha, 33, hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mahkamah memerintahkan hukuman jel bermula tarikh sabitan dan mengarahkan tertuduh yang bekerja sendiri itu disebat 15 kali.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa mengedar dadah berbahaya berkenaan di hadapan sebuah restoran di Bandar Baru Bangi, pada jam 6 petang, 11 Februari 2020.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang boleh dihukum di bawah seksyen 398(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, peguam, Datuk Naran Singh yang mewakili Muhammad Irsyad merayu agar anak guamnya tidak dikenakan hukuman gantung sampai mati.
Menurutnya, pihak pembelaan berharap mahkamah memberi peluang kerana dia masih muda, mempunyai seorang isteri dan anak yang masih kecil.
"Walaupun mahkamah boleh mengguna pakai budi bicara untuk menjatuhi hukuman, namun ia harus melihat pada fakta kes.
"Rujuk pada jenis dadah, mahupun berat bahan itu, lagi pun ini merupakan kesalahan pertamanya, tidak munasabah jika dikenakan hukuman gantung, tidak logik," katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Heikal Ismail membantah permohonan berkenaan dengan alasan, hukuman berat akan memberi mesej kepada masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama.
"Walaupun ada pindaan hukuman, namun pendakwaan berpendirian supaya dia dikenakan hukuman gantung sampai mati.
"Mahkamah tidak perlu bersimpati dengan rayuan yang dikemukakan pihak pembelaan dan tidak bertolak ansur dengan penjenayah seperti ini," katanya.
Sementara itu, tertuduh turut menyesal atas perbuatan yang dilakukan dan merayu agar dikenakan hukuman ringan.
Pada April lalu, Parlimen memutuskan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dan meluluskan pindaan bagi menggantikan hukuman penjara sepanjang hayat dengan pemenjaraan selama 30 hingga 40 tahun.
Rang undang-undang itu telah dibahaskan oleh Ahli-Ahli Parlimen daripada pihak kerajaan dan pembangkang sebelum diluluskan melalui undian secara sebulat suara.
Isteri tertuduh yang berusia 30an itu pada mulanya keluar dari mahkamah dalam keadaan menangis selepas suaminya itu didapati bersalah atas kesalahan tersebut.
Dia kembali semula ke galeri awam mahkamah sebelum menangis dan diberikan kesempatan bertemu Muhammad Irsyad sebelum dihantar semula ke penjara.
Perbicaraan bermula 5 Mac lalu, dengan sembilan saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sementara tertuduh memberikan kesaksian di kandang saksi ketika di peringkat bela diri. - Sinar Harian
#pengedar dadah #penjara seumur hidup #gantung sampai mati #keputusan mahkamah
;