Edar dadah, 2 sahabat dihukum gantung sampai mati

Petrus Bernard
Oktober 26, 2021 19:18 MYT
Kedua-dua mereka didakwa mengedar dadah seberat 327.1 gram di Jeti lama Pusat Kuarantin Kastam dan Imigresen (CIQ) Tawau pada jam 1 petang, 14 April 2019. - Gambar/ Astro AWANI
TAWAU: Dua lelaki yang merupakan sahabat karib dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah mengedar 327.1 gram Methamphetamine di Mahkamah Tinggi Tawau hari ini.
Hakim Lim Hock Leng menjatuhkan hukuman itu terhadap Ardiansyah Sudirman, 33, dan Muhammad Taufiq Asis, 29, selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, manakala pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Kedua-dua mereka didakwa mengedar dadah seberat 327.1 gram di Jeti lama Pusat Kuarantin Kastam dan Imigresen (CIQ) Tawau pada jam 1 petang, 14 April 2019.
Sehubungan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Sepanjang prosiding tersebut, pendakwaan memanggil tiga saksi, manakala tertuduh menjadi saksi tunggal masing-masing bagi pihak pembelaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Ali Imran manakala Ardiansyah diwakili peguam Jhassary Kang sementara Muhammad Taufiq diwakili Andy Tay.
#edar dadah #gantung sampai mati #mahkamah tawau #CIQ Tawau
;