Eda Ezrin, suami, empat rakan bebas tuduhan miliki pil kuda

Muhafandi Muhamad
Mac 6, 2025 12:18 MYT
Eda Ezrin. - Gambar fail
NARATHIWAT (Thailand): Mahkamah Wilayah Narathiwat hari ini membebaskan penyanyi lagu Bae Soba Bae, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, suaminya serta empat yang lain dari tuduhan memiliki 6,059 pil yaba pada November tahun lepas.
Panel dua hakim membuat keputusan tersebut selepas mendengar penghujahan penghakiman dan keterangan dari kesemua tertuduh.
Bagaimanapun, kesemua mereka tidak boleh lagi dibebaskan dari penjara kerana perlu menunggu pihak pendakwaan mengemukakan rayuan kepada mahkamah berhubung keputusan berkenaan.
Selain Eda, 30 tahun, dan suaminya Mohd Affendi Ahmad, 35 tahun, empat yang lain ialah Mohamad Alif Deraman, 33 tahun, Nur Aida Mamat, 33 tahun, Erdeka Mohd Noor, 33 tahun, dan Zuhaira Nasrin, 26 tahun.
Mereka dituduh memiliki 6,059 pil kuda semasa ditahan dalam serbuan di sebuah hotel dekat Golok, pada 1 November tahun lalu.
Hakim Wilayah Narathiwat juga memaklumkan, kesemua tertuduh telah menjalani hukuman penjara selama lebih empat bulan dan mereka tidak perlu lagi menjalani hukuman tambahan lain atas kesalahan memasukkan dadah ke dalam tubuh badan.
Mengikut undang-undang Thailand, tertuduh yang didapati bersalah atas kesalahan tersebut boleh dikenakan hukuman penjara enam bulan dan denda.
Bagaimanapun disebabkan kelakuan kesemua penghuni penjara warga Malaysia itu disifatkan sangat baik ketika berada dalam tahanan, ia mendorong mahkamah tidak memanjangkan tempoh itu.
Bagi kesalahan memasuki Thailand dan tinggal tanpa dokumen sah, mahkamah menetapkan denda 4,000 bath ke atas pasangan Erdeka dan Zuhaira.
Namun pasangan tersebut tidak perlu membayar denda kerana telah menjalani hukuman penjara dan berkelakuan baik.
#Eda Ezrin #pil kuda #penyanyi sohor Kelantan #penyanyi dikir barat Malaysia #Narathiwat
;