ECRL, TSGP batal - Tun Mahathir

Harits Asyraf Hasnan
Ogos 21, 2018 14:31 MYT
Keputusan dibuat Dr Mahathir itu juga telah dimaklumkan kepada rakan sejawatnya, Li Keqiang dan Presiden China, Xi Jinping pada lawatan lima harinya ke China yang berakhir pada Selasa.
Kerajaan memutuskan untuk membatalkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP).
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan pada ketika ini tidak mampu untuk membayar kos projek tersebut.
Malah tegasnya, buat masa ini, Malaysia tidak memerlukan projek seumpama itu.
"Ia merupakan pinjaman wang yang banyak dan pastinya kita tidak mampu meneruskannya serta membayar semula. Kita tidak perlukan projek seumpama itu di Malaysia pada ketika ini.
"Pada masa akan datang, mungkin ya. Tapi sekarang, tidak. Masalah kita sekarang adalah untuk menyelesaikan masalah defisit kewangan," ujarnya pada sidang media di sini hari ini.
Keputusan dibuat Dr Mahathir itu juga telah dimaklumkan kepada rakan sejawatnya, Li Keqiang dan Presiden China, Xi Jinping pada lawatan lima harinya ke China yang berakhir pada Selasa.
Beliau pada masa sama musykil bagaimana pembayaran hampir 80 peratus telah dibuat sedangkan projek itu hanya baru mencapai 13 peratus siap.
"Kita perlu mencari jawapan mengapa pembayaran dibuat apabila kerja tidak siap.
"Keutamaan ketika ini adalah untuk memastikan hutang negara dapat dikurangkan kerana dengan jumlah sebegitu, kita boleh muflis," jelasnya.
Sehubungan itu, beliau akan menghantar pegawai dari Malaysia untuk membincangkan secara terperinci bersama kerajaan China berkenaan pembatalan projek-projek tersebut termasuk dari segi pembayaran pampasan.
Beliau yang keliru dengan perjanjian yang dibuat kerajaan terdahulu berkata, tiada terma dalam perjanjian yang membenarkan Malaysia membatalkan projek tersebut.
#batal #Beijing #ECRL #Hutang negara #kewangan negara #Mahathir Mohamad #muflis #Sabah #TSGP
;