ECRL: Pembabitan rakyat tempatan dinaikkan kepada 40 peratus - PM
Astro Awani
April 15, 2019 12:27 MYT
April 15, 2019 12:27 MYT
Projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang diteruskan dengan kos RM44 bilion akan memberikan manfaat kepada rakyat tempatan.
Menurut Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamad, impak positif itu dapat dilihat susulan peratusan penyertaan rakyat tempatan kini dinaikkan kepada 40 peratus, 10 peratus lebih daripada perjanjian asal.
"Kita berharap kerajaan negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang akan merebut peluang yang ada dan memanfaatkan pembangunan serta pertumbuhan yang akan terhasil daripada pembinaan ECRL," kata Tun Dr. Mahathir dalam sidang media khas berkenaan projek ECRL, pada Isnin.
Tun Mahathir juga sekali lagi menegaskan bantahan awal kerajaan terhadap projek itu sebelum ini adalah kerana kosnya.
"Kita berterima kasih kepada kerajaan China yang menyedari keadaan kewangan Malaysia, dan bersetuju untuk membuat rundingan," tambah beliau.
Projek ECRL sepanjang 688.3 kilometer itu akan menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor dengan Pengkalan Kubor di Kelantan dan akan dibangunkan dalam dua fasa.
Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin, berkata, jarak rel akan dikurangkan sebanyak 40 kilometer dengan kos pembinaan setiap kilometer bernilai RM68 juta berbanding RM98 juta sebelum ini.
Hentian di Gombak pula akan dihapuskan dengan laluan ECRL bermula dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya-Pelabuhan Klang.
#China
#ECRL
#kerajaan
#Mahathir Mohamad
#Pantai Timur
#Perdana Menteri
#PM
#Projek Laluan Keretapi Pantai Timur