ECRL: Kenyataan rasmi minggu depan - Lim Guan Eng

Astro Awani
Januari 27, 2019 12:44 MYT
Guan Eng berkata beliau sama sekali tidak menduga pengumuman mengenai pembatalan kontrak ECRL itu dibuat lebih awal sedangkan ia sepatutnya dibuat pada minggu hadapan. - Gambar fail
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memaklumkan pihaknya akan membuat kenyataan rasmi berhubung status projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) minggu hadapan.
Guan Eng berkata beliau sama sekali tidak menduga pengumuman mengenai pembatalan kontrak ECRL itu dibuat lebih awal sedangkan ia sepatutnya dibuat pada minggu hadapan sebagaimana yang diputuskan dalam mesyuarat Kabinet.
Katanya, pengumuman mengenai status projek ECRL itu belum dibuat ekoran terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan selain sensitif kerana ia membabitkan kontrak bersama China Communications Construction Group Ltd (CCCC) dan pelbagai pihak.
"Kenyataan akan dikeluarkan minggu depan. Saya nak terangkan sekali lagi bila saya sebut, Kabinet putuskan pengumuman mesti dibuat dan akan dibuat itu sebab saya tidak duga apabila pengumuman dibuat lebih awal.
"Itu sahaja tidak lebih daripada itu, harap media janganlah buat tekaan lebih bila sebut pengumuman, sepatutnya dibuat pada minggu depan. Itu adalah keputusan Kabinet. Boleh tunggu pengumuman minggu depan kerana ini ada sangkut paut perkara kontrak dan sebagainya sebab tidak mahu sebut lebih daripada itu tetapi berpandukan kenyataan bertulis, pengumuman pada minggu depan," kata Guan Eng pada sidang media selepas menghadiri majlis perasmian Perpustakaan Digital di sini pada Ahad.
Hadir sama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Pada Sabtu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan kerajaan membatalkan projek ECRL disebabkan bayaran faedah tinggi yang ditanggung negara hampir RM500 juta setahun.
Katanya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet Khamis lalu.
Namun dua jam kemudian, Menteri Kewangan dilaporkan berkata beliau terkejut atas pengumuman pembatalan projek ECRL itu dan berkata Azmin tidak maklum dengan keputusan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
#Azmin Ali #ECRL #Ketua Menteri #Lim Guan Eng #Mahathir Mohamad
;