ECRL jamin pertumbuhan ekonomi lebih segar di negeri Pantai Timur - PM Anwar

Firdaus Azil
Jun 19, 2024 17:19 MYT
Pembangunan ECRL bukan sahaja menggambarkan hubungan strategik erat antara China dan Malaysia, tetapi ia juga bakal menjamin pertumbuhan ekonomi lebih segar di negeri-negeri Pantai Timur, kata PM Anwar. - Bernama
GOMBAK: Pembangunan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bukan sahaja menggambarkan hubungan strategik erat antara China dan Malaysia, malah ia juga bakal menjamin pertumbuhan ekonomi lebih segar di negeri-negeri Pantai Timur.

Ringkasan AI
  • Pembangunan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal menjamin pertumbuhan ekonomi lebih segar di negeri-negeri Pantai Timur.
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek bernilai lebih RM50 bilion yang dimulai sejak zaman Datuk Seri Najib Tun Razak itu, jelas menunjukkan kesediaan dan komitmen Kerajaan untuk mewujudkan pembangunan yang lebih menyeluruh.
  • Kontraktor induk iaitu China Communications Construction Company (CCCC) dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) diharap dapat menyegerakan projek pembinaan itu, yang dianggar akan siap pada Disember 2026.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek bernilai lebih daripada RM50 bilion yang dimulai sejak zaman mantan Datuk Seri Najib Tun Razak itu, jelas menunjukkan kesediaan dan komitmen Kerajaan untuk mewujudkan pembangunan yang lebih menyeluruh.
Justeru Perdana Menteri berkata, beliau berharap agar kontraktor induk iaitu China Communications Construction Company (CCCC) dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) untuk menyegerakan projek pembinaan itu, yang dianggar akan siap pada Disember 2026.
“Kita bukan saja mencatat pembangunan, malah menjamin pembangunan lebih merata kerana ECRL ini akan menjamin pertumbuhan rantau yang dianggap lebih kurang dari segi persaingan, dan tidak mempunyai keupayaan untuk bersaing, melainkan kita sediakan prasarana cukup baik.
“Prasarana disediakan termasuk di Kelantan, Terengganu dan Pahang, itu akan memberikan ruang supaya kita boleh menyaksikan pertumbuhan ekonomi lebih segar di negeri-negeri berikut. Sebab itu saya telah menyatakan kepada CCCC, dan MRL supaya menyegerakan pelaksanaan projek ini.
“Dari segi Kerajaan Perpaduan akan memberi segala kerjasama supaya memesatkan pertumbuhan dan kejayaan projek, dan kita juga minta beberapa perhatian termasuk jaminan, kerjasama kontraktor tempatan, dan bumiputera, dan pekerja serta perunding dan pembekal yang mencukupi,” katanya lagi.
Anwar berkata demikian sewaktu berucap majlis perasmian pecah tanah Stesen Terminal Bersepadu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Gombak, yang turut dihadiri Perdana Menteri China, Li Qiang,
Terdahulu media melaporkan, kerja-kerja pembinaan ECRL sepanjang 665 kilometer berjalan lancar dengan 67 peratus pembinaannya telah siap sehingga kini, walaupun pada peringkat awal pembangunan dan pelaksanaannya, ia berhadapan dengan pelbagai cabaran.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Ali, yang juga Pengerusi MRL berkata, projek merentasi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor itu disasar menjadi 'pengubah keadaan' (game changer) kepada ekonomi terutama dalam meningkatkan rangkaian pengangkutan Malaysia, khususnya di pantai timur dan barat negara.
Kehadiran Li Qiang di majlis itu, katanya lagi, mencerminkan kekukuhan hubungan dua hala antara dua negara yang telah lama wujud, yang memastikan kejayaan pelaksanaan projek di bawah Inisiatif Belt and Road (BRI) diterajui Beijing itu.
Dalam pada itu Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada China, khususnya kepada Li dan Presiden Xi Jinping di atas keterlibatan negara itu dalam projek mega infrastruktur seperti ECRL.
Anwar berkata, beliau melihat kepentingan projek itu bukan sekadar satu infrastruktur, malah tentang bagaimana ia dapat mewujudkan ekosistem yang dapat memacu kelebihan dan aktiviti ekonomi dengan lebih pesat.
Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada China di atas usaha memindah teknologi serta menyediakan peluang kepada pemain industri tempatan untuk meningkatkan pengetahuan serta kemahiran dalam bidang berkaitan.
“Kami pemimpin boleh merancang dan mereka polisi, tetapi saya sangat berbesar hati apabila kita mengetahui tahap komitmen teknokrat dan pekerja seperti anda (yang terlibat dalam ECRL). Anda telah menunjukkan kita mampu membuatnya dengan lebih efektif dan lebih berjaya, terutamanya dalam memastikan ia siap lebih cepat dari jangkaan,” katanya lagi.
#Anwar Ibrahim #Li Qiang #ECRL #negeri pantai Timur
;