ECRL buka peluang ekonomi di Pantai Timur - Penganalisis
Wan Syamsul Amly
April 12, 2019 11:48 MYT
April 12, 2019 11:48 MYT
Perjanjian mengenai Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang dijangka ditandatangani akan membuka peluang ekonomi terutama kepada penduduk di Pantai Timur.
Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Emiratus Dr Zakariah Abdul Rashid menjelaskan pelbagai kajian sebelum ini membuktikan kewujudan ECRL memberi lebih banyak faedah kepada rakyat di sepanjang jajaran rel berkenaan.
Katanya, persoalan kos tinggi yang dikatakan juga harus diselesaikan segera di antara Malaysia dan China.
"Dengan adanya perhubungan antara Kuala Lumpur, Lembah Klang dengan Pantai Timur
tentunya ia memberikan faedah kepada pembangunan pertanian di Kelantan, Terengganu, Pahang dan juga memberikan juga faedah kepada pembangunan pelancongan yang lebih baik.
"Ia bawa limpahan ekonomi kepada perindustrian perkilangan di kawasan tersebut, banyak pengalaman negara lain apabila kawasan tertutup ini dibuka dengan laluan rel ini dapat membuka wilayah itu dengan lebih maju lagi.
"Ini meningkatkan pendapatan penduduk Pantai Timur yang kita tahu sekatang ini dari segi pendapatan rendah isi umah. Mereka dalam golonga B40, jadi projek ini amat baik jika dijelmakan," katanya ketika dihubungi, di sini, pada Jumaat.
Perjanjian mengenai ECRL dijangka ditandatangani di antara Malaysia dan China di Beijing pada Jumaat, lapor akhbar Sin Chew Daily yang memetik sumber dalaman.
Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin sudah tiba di Beijing dan sedang berunding mengenai perincian perjanjian berkenaan dengan China.
Tun Daim juga dijangka mengadakan sidang media berkenaan jam 2 petang Jumaat dari Kedutaan Malaysia di Beijing bagi mengumumkan perincian perjanjian berkenaan.
Kerajaan sebelum ini memaklumkan jajaran projek ECRL disahkan akan diubah dengan memberi manfaat kepada Negeri Sembilan sekiranya ia diteruskan selepas rundingan diadakan dengan kerajaan China.