ECRL: 1,547 lot tanah fasa satu di Kelantan selesai, diwartakan - Takiyuddin
Bernama
Jun 16, 2022 20:11 MYT
Jun 16, 2022 20:11 MYT
KOTA BHARU: Sebanyak 1,547 lot tanah bagi fasa satu Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah selesai dan diwartakan di bawah Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Beliau berkata urusan pengambilan tanah yang dilaksanakan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanahdan Galian Persekutuan (JKPTG) negeri Kelantan itu melibatkan jajahan Kota Bharu, Machang, Bachok dan Pasir Puteh.
"Secara keseluruhan, projek ini berjalan lancar termasuk dari segi proses pengambilan tanah walaupun terdapat beberapa isu berbangkit berkaitan pengambilan tanah, namun ia dapat diselesaikan oleh kementerian dengan kerjasama baik daripada semua pihak terutama kerajaan negeri.
"Sehubungan itu, saya mengambil kesempatan merakamkan ribuan terima kasih kepada kerajaan negeri, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan semua agensi terbabit dalam melancarkan pelaksanaan projek ECRL di Kelantan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata bagi fasa dua pula, JKPTG negeri Kelantan telah menerima permohonan pengambilan tanah melibatkan lot-lot tambahan berjumlah 109 lot di jajahan Machang, Bachok dan Pasir Puteh.
Katanya, permohonan tersebut telah diangkat kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri Kelantan untuk mendapatkan kelulusan pihak berkuasa negeri sebelum diwartakan.
"Pihak kementerian juga turut mengambil perhatian kepada aspek kemampanan ekologi agar kesan kepada ekosistem untuk hidupan liar dan habitatnya adalah terkawal.
"Selain itu, melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) telah mengambil tindakan dengan memperkukuhkan Pelan Pengurusan Hidupan Liar (WMP) agar selari dengan keperluan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA)," katanya.
ECRL dijangka mula beroperasi pada Januari 2027 membabitkan laluan kereta api sepanjang 665 kilometer di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.
-- BERNAMA
#ECRL
#lot tanah
#fasa satu
#Projek Laluan Rel Pantai Timur
#diwartakan
#Menteri Tenaga dan Sumber Asli
#Takiyuddin Hassan