Econsave nafi pesakit COVID-19 hadir ke premis Taman Scientex

Bernama
Oktober 14, 2020 18:54 MYT
Pihak pengurusan Econsave Taman Scientex juga telah membuat laporan polis berhubung perkara itu. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Econsave Cash & Carry Sdn Bhd (Econsave) hari ini menafikan bahawa ada pesakit positif COVID-19 datang ke cawangannya di Econsave Taman Scientex seperti yang tular dalam media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak beberapa hari lepas.
Pengurus Besar Econsave Mas Imran Adam berkata sehubungan itu, orang ramai diminta supaya tidak mudah mempercayai dengan mesej palsu itu yang telah menyebabkan kekecohan dan meresahkan penduduk setempat.
Katanya, pihak pengurusan Econsave Taman Scientex juga telah membuat laporan polis berhubung perkara itu dan Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Ismail Dollah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis itu yang dibuat di Balai Polis Scientex 4.10 petang semalam.
“Kesan daripada tular itu, ramai yang masih takut untuk datang (Econsave Taman Scientex) kerana menyangkakan ia benar.
“Saya juga telah periksa berhubung perkara ini dengan pihak Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan pusat hotline COVID-19 negeri Johor dan mereka turut menafikan mesej itu benar,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.
BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)
Mas Imran berkata mesej yang ditularkan itu mendakwa pihak MPPG membuat pengumuman menerusi pembesar suara di sekitar Taman Scientex yang meminta orang ramai yang telah datang ke Econsave Taman Scientex pada 10 Okt untuk tampil dan membuat pemeriksaan COVID-19 di Klinik Kesihatan Masai.
Beliau berkata orang ramai yang masih sangsi dengan perkara itu boleh menghubungi pejabat pengurusan Econsave Taman Scientex di talian 07-2891562.
-- BERNAMA
#Econsave #pesakit positif COVID-19 #Econsave Taman Scientex #berita palsu #WhatsApp
;