Ebit Lew selamat pulang selepas misi di Gaza
Astro Awani
Julai 2, 2021 05:03 MYT
Julai 2, 2021 05:03 MYT
PENDAKWAH bebas Ustaz Ebit Lew selamat tiba di Malaysia selepas selesai menjalani misi Bantuan Kemanusiaan Gaza Palestin.
Dalam satu hantaran di Facebooknya pada Jumaat, beliau berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan beliau dan kumpulannya sepanjang misi tersebut.
"Terima kasih semua yang selalu mendoakan yer. Allah sahaja yang membalasnya. Jika ada kebaikan atas yang kami buat berkat doa semua," tulis Ebit Lew.
Dalam hantaran sama, beliau menjelaskan kumpulannya sedang menjalani kuarantin di tempat yang ditentukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Kami sedang menjalani kuarantin di tempat yang ditentukan KKM. Terima kasih DS Hishammuddin Hussein dan Wisma Putra serta Kedutaan Besar Malaysia di Mesir."
Ebit berlepas ke Mesir pada 25 Mei lalu sebelum memasuki Gaza bagi menyampaikan sumbangan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat serangan Israel.
Menurut Ebit Lew, bantuan berupa barangan keperluan serta ubat-ubatan sebanyak dua treler dan beberapa buah lori dihantar terus ke hospital di Gaza untuk disalurkan kepada yang memerlukan.
Pasukan Ebit juga adalah yang pertama di dunia yang dibenarkan masuk ke Gaza melalui pintu Rafah sejak peperangan 11 hari pada Mei lalu.
Atas sumbangannya itu, beliau menerima anugerah sebagai Duta Muhibbah oleh kerajaan Palestin.
#Ebit Lew
#Gaza
#Palestin
#Bantuan Kemanusiaan Gaza Palestin
#Wisma Putra
#KKM
#pendakwah
#Hishammuddin Hussein
#Kementerian Kesihatan