Ebit Lew minta saksi padam mesej melalui WhatsApp

Bernama
Ogos 30, 2024 21:44 MYT
Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021. - Gambar fail/BERNAMA
TENOM: Seorang wanita hari ini memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa beliau diminta oleh Ebit Irawan Ibrahim Lew, atau Ebit Lew, untuk memadam mesej di aplikasi WhatsApp antara mereka kerana terdapat laporan berkaitan gangguan seksual melibatkan pendakwah itu.
Wanita berusia 40-an itu, selaku saksi kesembilan pendakwaan yang juga pengadu kes tersebut, berkata Lew turut memberitahunya menerusi mesej WhatsApp pada 30 Julai 2021 bahawa telefon bimbit milik pendakwah berkenaan akan dirampas oleh pihak polis.
Peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili Lew, menyoal saksi adakah beliau bersetuju bahawa laporan forensik akan dapat mengenal pasti mesej itu.
Di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani, saksi itu bersetuju kerana beliau tidak memadam mesej itu.
Saksi juga memaklumkan bahawa beliau menggunakan satu lagi telefon bimbit iaitu telefon yang dikhaskan bagi kegunaan rumah untuk menyambung aktiviti bermesej dengan Lew selepas menerima permintaan tersebut.
Bagaimanapun, wanita itu tidak menyerahkan telefon tersebut kepada polis kerana hanya terdapat mesej WhatsApp yang berkisar tentang laporan terhadap Lew dan tidak mengandungi gangguan seksual pendakwah tersebut terhadap dirinya.
Kepada soalan lain, saksi itu bersetuju sepanjang Mei 2021 tiada rekod bahawa beliau menghantar gambar atau mesej kepada Lew kerana gambar bahagian dadanya terdedah diambil semasa panggilan video manakala mukanya dipadam.
Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.
Pendakwah itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan disambung pada Selasa depan.
-- BERNAMA
#Ebit Lew #padam mesej #WhatsApp #gangguan seksual