Ebit Lew Islamkan satu kampung di Sabah

Astro Awani
Januari 31, 2021 07:45 MYT
Ebit berikrar, akan terus membantu penduduk di kawasan tersebut dan sedang berikhtiar untuk membina sekolah serta menyediakan ustaz untuk mengajar mereka. - Facebook Ebit Lew
KUALA LUMPUR: Dalam usaha yang tidak mengenal penat dan lelah, pendakwah bebas Ebit Lew menangis gembira apabila beliau berjaya membawa satu kampung berjumlah 157 orang dari suku Bajau Laut di Sabah memeluk Islam.
Dalam catatan di Facebooknya, Ebit menceritakan beliau ke Pulau Tatagan Semporna dalam misi bantuan kemanusiaannya ke Negeri Di Bawah Bayu.
Katanya, kesemua penduduk di kawasan tersebut tinggal dalam bot atau pondok kecil atas laut dan lebih menyedihkan mereka dalam kesusahan, terputus bekalan makanan.
Ketika memberi bantuan kepada 157 suku Bajau Laut atau Gipsi Laut, ramai yang datang kepada Ebit dan bertanya tentang apa itu Tuhan dan siapa Tuhan?
"Saya ke sana untuk beri bantuan. Dengar mereka susah dan putus bekalan makanan. Mereka susah sangat. Bajau laut kumpulan manusia tanpa negara.
"Tengok anak kecil terus menangis. Berebut-rebut datang dekat saya. Mereka beri nama anak selepas setahun kerana risiko kematian tinggi untuk anak bawah setahun.
"Tiba-tiba ramai tanya saya siapa tuhan. Tuhan tu apa. Saya terus sebak. Saya dengan penterjemah tanya pernah tak sesiapa terangkan tentang agama.
"Mereka jawab tiada. Kami tak tahu. Tolong bagitahu kami. Saya terus sebak. Saya kumpulkan semua dikeliling bot tadi.
"Mereka semua terus percaya. Saya ajar mereka syahadah. Inilah hari paling sedih gembira dalam hidup saya. Terima kasih Allah," coret Ebit.
Ebit berikrar, akan terus membantu penduduk di kawasan tersebut dan sedang berikhtiar untuk membina sekolah serta menyediakan ustaz untuk mengajar mereka.
Sumber Facebook ebitlewofficialpage
#Ebit Lew #dakwah #kampung #bajau laut #Semporna #Sabah #misi #bantuan #kemanusiaan
;