EAIC terima memorandum isu ancam alam sekitar, kehidupan nelayan pantai negara

Bernama
Ogos 12, 2024 20:45 MYT
JARING juga menggesa agar isu pengurusan dan penguatkuasaan oleh jabatan serta agensi yang mengawal selia perairan dan perikanan negara dipertingkatkan. - Gambar fail/Astro AWANI
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menerima memorandum daripada Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING) berhubung isu yang mengancam alam sekitar dan kehidupan nelayan pantai negara.
Pengerusi EAIC Tan Sri Ismail Bakar berkata memorandum tersebut menuntut tindakan segera menghentikan penggunaan pukat tunda yang mengakibatkan kekurangan sumber perikanan dan menimbulkan konflik dengan nelayan pantai.
Beliau berkata JARING juga menggesa agar isu pengurusan dan penguatkuasaan oleh jabatan serta agensi yang mengawal selia perairan dan perikanan negara dipertingkatkan.
"EAIC menyedari kepentingan isu yang dibangkitkan oleh JARING dan akan meneliti setiap cadangan yang telah dikemukakan bagi mencari penyelesaian menyeluruh," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Ismail berkata suruhanjaya itu akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang berkaitan khususnya Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam menangani isu perikanan dan perairan negara bagi memastikan langkah yang diambil selaras dengan perundangan.
Beliau berkata langkah itu penting untuk memastikan keselamatan, keadilan, dan ketelusan dalam operasi di lapangan serta memelihara integriti negara.
Beliau berkata EAIC akan terus memainkan peranan aktif dalam memastikan integriti dan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang, terutama berhubung isu yang melibatkan kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan komuniti nelayan pantai di Malaysia.
-- BERNAMA
#EAIC #alam sekitar #pukat tunda #nelayan