EAIC siasat dakwaan kejadian rogol di depot imigresen Machap Umboo

Bernama
Mac 22, 2017 15:39 MYT
EAIC juga menyerahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia untuk melakukan siasatan berkaitan kesalahan jenayah rogol berdasarkan kepada laporan polis yang dibuat oleh pengadu berkenaan.
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) telah memulakan siasatan berkaitan dakwaan berlakunya kejadian rogol ke atas tahanan warga Thailand di Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo, Melaka.
Pengerusi EAIC Datuk Yaacob Md Sam berkata pihaknya memandang berat dakwaan yang dibuat oleh pengadu dan akan menjalankan siasatan dengan telus, tanpa prejudis dan tidak berpihak kepada sesiapa.
Beliau berkata siasatan EAIC adalah untuk mengenal pasti sama ada terdapat salah laku dilakukan oleh pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia dan ketidakpatuhan ke atas Prosedur Tetap Operasi Depot.
"Siasatan itu juga akan dilakukan berdasarkan Pekeliling Imigresen Malaysia yang berkaitan dengan pengendalian dan pengurusan orang tahanan Imigresen di depot terlibat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Yaacob berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar tempatan yang mendakwa seorang wanita warga Thailand mendakwa kakaknya dirogol seorang anggota Jabatan Imigresen negeri ketika proses rakaman percakapan di depot berkenaan, dua minggu lalu.
Dalam pada itu, EAIC juga menyerahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia untuk melakukan siasatan berkaitan kesalahan jenayah rogol berdasarkan kepada laporan polis yang dibuat oleh pengadu berkenaan.
-- BERNAMA
#EAIC #jenayah #rogol #Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
;