EAIC perkenal talian aduan menerusi WhatsApp
Bernama
April 2, 2024 09:20 MYT
April 2, 2024 09:20 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) memperkenalkan saluran alternatif untuk memudahkan orang ramai membuat aduan berhubung salah laku penguat kuasa melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-3555215.
EAIC memaklumkan orang awam hanya perlu menaip ADUAN SALAH LAKU dan diikuti dengan nama pengadu, alamat /nombor telefon atau e-mel untuk dihubungi, agensi yang diadukan dan butiran aduan beserta lampiran bukti (foto/video/dokumen).
"Talian ini hanya akan menerima aduan secara bertulis dan akan memberikan maklumanpenerimaan aduan tersebut secara automatik sementara ia dirujuk dan diproses lanjut bagi kelulusan awal sebelum diputuskan oleh Mesyuarat Suruhanjaya," katanya dalam kenyataan semalam.
Talian itu beroperasi pada waktu bekerja Isnin hingga Jumaat, jam 9 pagi hingga 5 petang.
Menurut EAIC, selain saluran berkenaan, suruhanjaya itu masih mengekalkan penerimaan aduan melalui saluran sedia ada iaitu Sistem Penyelesaian Aduan dan Pengendalian Siasatan (SPAPS) di Portal EAIC, e-mel aduan@eaic.gov.my dan secara bersemuka di Kaunter Aduan dan Pusat Khidmat Pelanggan EAIC di Aras G, Menara Usahawan di Putrajaya.
"Penambahan saluran baharu ini akan membolehkan orang awam menyalurkan aduan dengan cepat, mudah dan efektif supaya tindakan segera boleh diambil oleh suruhanjaya ini," kata EAIC.
-- BERNAMA