e-Tunai Rakyat: Kerajaan kaji masukkan terus ke BSH
Dewi Nur Harasha Alias
Januari 18, 2020 17:15 MYT
Januari 18, 2020 17:15 MYT
Kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan untuk memasukkan wang RM30 yang dikhususkan untuk program e-Tunai Rakyat ke dalam akaun penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) bagi rakyat di negara ini yang tidak memiliki telefon pintar.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pemberian BSH akan bermula pada 20 Januari ini namun perkara itu akan dibincangkan kemudian dan pihaknya hanya akan berbuat demikian selepas meneliti aduan dan rungutan dari kalangan rakyat.
Guan Eng berkata buat masa ini, pihaknya akan melihat perkembangan terkini berhubung pelaksanaan program e-Tunai Rakyat selepas ia dilancarkan Selasa lalu sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
"Saya hendak lihat perkara itu tetapi kita akan buat bayaran BSH pada 20 Jan ini, maka biar kita jalankan program ini, kita lihat tetapi sekiranya ada banyak rungutan tentang perkara ini, kita akan timbang. Kita ada BSH, kita boleh kaji," katanya pada sidang media selepas lawatan ke Tesco Bagan Ajam, Butterworth, Pulau Pinang Sempena Pelancaran Inisiatif e-Tunai Rakyat pada Sabtu.
Dalam pada itu, Guan Eng berkata, sejak progam e-Tunai Rakyat mula diperkenalkan lima hari lepas sebanyak 1.72 juta permohonan sudah diterima oleh pengendali e dompet seperti Touch n 'Go (TNG) Sdn Bhd, Boost, dan Grab.
Manakala 1.32 juta permohonan telah diluluskan dengan RM40 juta telahpun dibelanjakan setakat jam 12 tengahari Sabtu.
Tambahnya, pihaknya mensasarkan lebih ramai rakyat di negara ini akan menggunakan aplikasi tersebut kerana sistem tersebut adalah baik, efisien dan telus.
Ini kerana semua pembayaran dibuat secara sahih dan teratur tanpa ada unsur penyelewengan, penyalahgunaan mahupun rasuah.
Beliau diminta mengulas mengenai rungutan segelintir penduduk di luar bandar yang mendakwa tidak dapat menebus wang berkenaan kerana tidak mempunyai telefon pintar.
Program e-Tunai Rakyat yang dilancarkan pada Selasa bagi membolehkan rakyat Malaysia berkelayakan menuntut RM30 melalui tiga pengendali e-dompet iaitu Grab, Boost dan Touch 'n Go.
Program e-Tunai Rakyat yang mengagihkan RM30 kepada setiap orang yang layak melalui e-dompet, itu diharap akan menyumbang kepada pengenalan masyarakat tanpa tunai dan membantu rakyat Malaysia terutamanya dari kumpulan B40 dan M40 membiasakan diri dengan pembayaran elektronik.
#Bantuan Sara Hidup
#boost
#BSH
#e- Tunai Rakyat
#grab
#Lim Guan Eng
#Malaysia
#rakyat Malaysia
#telefon pintar
#Touch 'n Go