E-sukan harus dijadikan kepentingan sehingga ke peringkat lebih tinggi

Pia Ernadya
Julai 16, 2024 21:07 MYT
Menurut Hidayat,sebuah ekosistem harus diwujudkan agar bidang ini dipandang dengan lebih serius oleh masyarakat.
KUALA LUMPUR: Sukan elektronik (e-sukan) mampu mencetak nama Malaysia di pentas dunia jika industri tersebut tidak hanya terhad kepada memenangi pertandingan, tetapi turut diperkasa di peringkat persekutuan ataupun negeri.
Menurut Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Selangor, Mohd Hidayat Mohd Saufi, Malaysia sudah mempunyai beberapa pasukan yang berjaya meneroka kejayaan di peringkat antarabangsa, namun begitu, sebuah ekosistem harus diwujudkan agar bidang ini dipandang dengan lebih serius oleh masyarakat.
"Bagaimana kita melihat (agenda e-sukan) ini tidak terhad kepada memenangi pertandingan.. (tetapi bagaimana kerajaan) baik di peringkat persekutuan ataupun negeri boleh mendorong agenda ini dengan mewujudkan persekitaraan yang boleh membantu dari segi pembangunan infrastruktur, pertandingan-pertandingan profesional yang boleh menyumbang kepada accumulated points apabila mereka beraksi ke peringkat antarabangsa.
"Saya jadikan Riyadh sebagai contoh di mana mereka (sangat serius) untuk mewujudkan sebuah ekosistem e-sukan... Itu yang penting untuk kita kenal pasti sebagai garis besar kepada (kepentingan) e-sukan. Kalau kita lihat, di Riyadh, mereka membangun satu tempat yang dikenal sebagai Riyadh Boulevard," jelas Hidayat ketika diwawancara Pantau Agenda Reformasi pada Selasa.
Tambah Hidayat, kerajaan juga harus wujudkan sebuah dasar yang jelas supaya kepentingan e-sukan mampu diperkembang ke masa hadapan agar ia tidak dilihat sebagai hobi sahaja, walaupun perspektif orang ramai terhadap industri ini semakin positif.
"Kerajaan mesti menyokong bagaimana e-sukan ini boleh berkembang. Mungkin sekarang ini, dengan perkembangan AI, mungkin (juga) kalau tak keterlaluan (boleh juga dikaitkan) dengan TVET.. tetapi jadikan ia e-TVET dan kita dapat melihat bagaimana perkara itu dapat diperkembang.
"...dan sebenarnya kalau kita teliti dengan serius, dan kita corak dan lorek sebagai satu dasar yang menyeluruh, sebenarnya ia boleh dijadikan sebagai peluang sekali gus mematikan stigma yang negatif.. seperti (pemain) tak habis belajar ke tahap universiti dan sebagainya," ujarnya.
Namun begitu, katanya, ini berbalik kepada pengukuhan sebuah ekosistem dari segi infrastruktur, pertandingan dan yang paling penting adalah dasar yang menyokong semua aspek baik dari segi kerajaan, korporat, swasta dan sebagainya.
Hidayat juga mengambil kejayaan Kerajaan Negeri Selangor sebagai contoh apabila mereka secara kebetulan, merupakan negeri pertama yang mewujudkan Selangor Esports sehinggakan pasukan Selangor Red Giants(SRG) mampu memenangi pertandingan di peringkat antarabangsa.
"Ini terjadi kerana terdapat sebuah ekosistem yang diberi penekanan daripada awal. Dengan adanya sebuah pasukan SRG yang memenangi e-Sports World Cup, mereka berjaya menutup mulut bahawa pelaburan yang telah mereka mulakan lebih 11 tahun lepas membuahkan hasil," tambahnya.
#e-sports #SRG #Selangor Red Giants #GPMS
;