E-sukan bantu bentuk modal seimbang di kalangan pelajar - Muslimin Yahaya

Astro Awani
September 8, 2020 13:46 MYT
Pertandingan e-sukan boleh memandu generasi muda bermain sukan itu secara positif tanpa mengabaikan pelajaran. - Foto Astro AWANI
Pertandingan Generasi E-Sukan Sekolah Selangor (GES) dilihat mampu menyumbang ke arah pembentukan modal insan yang seimbang, kata Timbalan Menteri Pendidikan 1, Muslimin Yahaya.
Beliau berkata, pertandingan seumpama itu boleh memandu generasi muda bermain sukan itu secara positif, dan pada masa yang sama, mendidik mereka tentang kaedah bermain e-sukan secara sihat menerusi GES.
“Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat menggalakkan penganjuran program seperti ini. Saya percaya program GES ini berupaya menyumbang kepada pembentukan modal insan yang seimbang.
“Semoga pertandingan ini menjadi modus operandi yang baik bagi membuka platform kepada para peserta, untuk menonjolkan bakat mereka, supaya ia dapat diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya lagi.
Terdahulu, wakil dari empat buah sekolah diraikan di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor sempena majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan GES pusingan kedua anjuran kerjasama strategik Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Persatuan Sukan Elektronik Negeri Selangor dan GenBijakDotMy yang ditaja oleh Telekom Malaysia (TM) dan realme.
Dalam satu siaran media, penganjur berkata, hanya pelajar yang mempunyai rekod kehadiran cemerlang sahaja dibenarkan untuk mewakili sekolah ke pertandingan e-sukan secara atas talian yang diadakan sebanyak enam fasa dan sekarang sudah pun memasuki fasa kedua dan dijangka berakhir pada Januari tahun hadapan.
Pertandingan ini diadakan secara atas talian sepenuhnya bagi mendukung aspirasi digital Malaysia dan pada masa yang sama mengurangkan risiko penularan COVID-19.
Berikut merupakan keputusan penuh kejohanan.
Keputusan Kejohanan PubG
Kategori Sekolah Menengah
Johan: Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sentosa 2
Naib Johan: Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi Tempat
Ketiga: Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Long
Kategori Sekolah Rendah
Johan: Sekolah Kebangsaan Taman Cuepacs
Naib Johan: Sekolah Kebangsaan Seksyen 19
Tempat Ketiga: Sekolah Kebangsaan Telok Panglima Garang
MLBB Kategori Sekolah Menengah
Johan: Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Indah
Naib Johan: Sekolah Menengah Jalan REKO
Tempat Ketiga: Sekolah Menengah Taman Desaminimum
MLBB Kategori Sekolah Rendah
Johan: Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan
Naib Johan: Sekolah Kebangsaan Subang Bestari
Tempat Ketiga: Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Subang
#coronavirus #COVID-19 #e-sukan #Kementerian Pendidikan #Malaysia #menteri #mlbb #Muslimin Yahaya #pendidikan #pubg #Timbalan Menteri Pendidikan
;