e-Papuh bantu banteras penipuan pakej umrah
Sahlizah Mohamed
Mac 27, 2019 13:35 MYT
Mac 27, 2019 13:35 MYT
Persatuan Agensi Pelacongan Umrah dan Haji (Papuh) mengambil inisiatif membangunkan aplikasi e-Papuh sebagai satu mekanisme membanteras penipuan jualan pakej umrah.
Melalui e-Papuh, persatuan itu bukan sahaja dapat membantu ahli-ahli menjual pakej umrah mereka, malah dapat membantu orang ramai memilih pakej yang dijamin selamat.
Presiden Papuh, Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, selain pakej umrah, ia juga mengambil inisiatif membantu syarikat pelancongan yang ditipu syarikat lain dalam urusan tiket dan visa.
“e-Papuh adalah satu mekanisme penyelesaian terhadap keraguan orang ramai untuk membeli pakej umrah dan menjadi pusat sehenti bagi pakej umrah dan haji.
“Semua agensi pelancongan mestilah mempunyai Lesen Khas Umrah (LKU) dan sub KLU di seluruh negara.
“Selain itu, e-Papuh yang merupakan satu enjin carian dapat membantu orang ramai dalam memilih dan membandingkan harga serta perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya pada Rabu.
Melalui e-Papuh juga, pelanggan akan disertakan dengan perlindungan takaful secara automatik selain boleh memilih klinik yang menawarkan perkhidmatan vaksin secara digital.
Data pengenalan jemaah juga akan direkodkan di dalam sistem maklumat bersepadu dan memberikan kemudahan kepada jemaah untuk membuat temu janji di klinik yang dipilih.
“e-Papuh turut dilengkapi sistem e-mutawwif yang dapat membantu dan memberi panduan kepada jemaah termasuk pemprosesan visa dan agensi pelancongan yang dipilih.
“Melalui aplikasi ini, ia dijangka akan meningkatkan pasaran dunia digital dalam mempromosikan pakej umrah selaras dengan visa Arab Saudi bagi menjadikan Malaysia salah sebuah negara yang mempraktikkan proses e-visa tanpa pasport," kata Razali.
Sehingga kini, Papuh mempunyai seramai 290 ahli dan 50 ejen yang setiap satunya menyediakan sekurang-kurangnya 10 jenis pakej umrah.
#Arab Saudi
#e-mutawwif
#e-Papuh
#e-visa
#Haji
#Lesen Khas Umrah
#Malaysia
#PAPUH
#pelancongan
#pengenalan jemaah
#penipuan
#Razali Mohd Sham
#tiket
#umrah
#Visa