E-Mutiara mohon henti tular video pemandu bas putus tangan
Sinar Harian
April 16, 2023 10:45 MYT
April 16, 2023 10:45 MYT
KOTA BHARU: Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) yang mengendalikan Rangkaian Perkhidmatan Bas Henti-henti Mutiara Desa (MRD) di negeri ini meminta semua pihak supaya tidak lagi menularkan video kemalangan melibatkan seorang pemandu yang putus tangan kanan dalam kejadian di kilometer 37 Jalan Kota Bharu - Kuala Terengganu di sini pada Sabtu.
E-Mutiara dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, langkah tersebut bertujuan menjaga sensitiviti dan perasaan mangsa Mohd Amiruddin Azhar serta keluarga yang sedang berada dalam kesedihan ketika ini.
"Pihak syarikat memohon kerjasama semua pengguna media sosial yang memiliki rakaman video tersebut secara langsung atau secara tidak langsung agar memadamkan video tersebut dan semua pautan perkongsiannya.
"Semoga kecaknaan kita ini akan membantu mengurangkan rasa kesedihan mangsa dan keluarga, lebih-lebih lagi ketika kita bakal meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi," ujarnya.
Kenyataan itu memberitahu, pemandu bas MRD itu kini sedang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kubang Kerian.
"Pihak syarikat berasa dukacita dengan insiden tersebut dan menitipkan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga," katanya. - Sinar Harian