E-Kitchen Selangor: Tempah juadah berbuka awal, elak pembaziran - MB Selangor
Firdaus Azil
April 18, 2020 14:17 MYT
April 18, 2020 14:17 MYT
Tempahan untuk e-Kitchen kelolaan Kerajaan Selangor sepanjang bulan Ramadan boleh dibuat seawal jam 10 malam pada hari sebelumnya, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata, tempoh tempahan akan dilanjutkan sehingga jam 1 petang pada hari berikutnya dan penghantaran akan dibuat antara 4.30 petang hingga waktu berbuka puasa.
“Tempahan awal ini juga akan membantu penjaja untuk menyediakan makanan secukupnya dan juga bagi mengelakkan kecelaruan ketika tempahan dibuat.
“Mungkin kita akan berikan masa maksimum satu hingga dua untuk tempahan sebelum ia ditutup dan penghantaran maksimum sehingga pukul 7 malam atau sebelum berbuka,” katanya lagi ketika menerangkan perincian mengenai inisiatif itu kepada Astro AWANI hari ini.
Bagi penjaja dan peniaga yang ingin menyertai program e-Kitchen itu, Amirudin berkata, mereka boleh mendaftar di portal Hijrah Selangor.
Syaratnya adalah sama dengan penyertaan bazar Ramadan yang lepas seperti kad pengendalian makanan yang sah tempoh, mempunyai resit suntikan pelalian typhoid serta mempunyai borang Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Selain itu, Amirudin berkata, Hijrah Selangor turut memberi kemudahan pinjaman kepada penjaja dan peniaga yang selayak, dengan anggaran pinjaman antara RM3,000 hingga RM5,000.
“Kerajaan negeri juga mempunyai peruntukan RM600,000 untuk menanggung kos pusat distribusi , seperti proses menyahkuman dewan dan penempatan atau pusat distribusi,” katanya lagi.
#Amirudin Shari
#Bazar Ramadan
#COVID-19
#e-Kitchen
#Hijrah Selangor
#juadah berbuka
#Menteri Besar
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#Selangor