E-Idaman jangka janaan sampah meningkat 25 peratus menjelang Aidilfitri

Bernama
April 19, 2022 11:07 MYT
Mohd Firdaus dan Perunding Operasi Kedai Mini Market McDonald's Malaysia Noor Azemah Hashim beramah mesra dengan anak-anak yatim pada majlis berbuka puasa di Perkim Kedah Kampung Alor Menong, Alor Setar semalam. --fotoBERNAMA
ALOR SETAR: Syarikat Konsesi Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam E-Idaman Sdn Bhd (EISB), menjangkakan jumlah janaan sampah menjelang perayaan Aidilfitri tahun ini meningkat 20 hingga 25 peratus.
Ketua Jabatan Komunikasi Korporat EISB Mohd Firdaus Mohd Isa berkata jangkaan peningkatan janaan sampah itu kerana lebih banyak kedai dan bazar Ramadan beroperasi seperti biasa tahun ini setelah negara memasuki Fasa Peralihan ke Eendemik.
"Banyak sektor telah dibenarkan beroperasi, jadi kita jangka jumlah janaan sampah menjelang perayaan meningkat berbanding pada hari biasa. Jadi, EISB akan meningkatkan operasi bagi memastikan kebersihan awam terjaga sepanjang tempoh perayaan nanti.
"Jadual kutipan sampah berjalan seperti biasa dan EISB juga akan melaksanakan kutipan khas sisa pukal dan kebun di taman-taman yang telah dikenal pasti menghasilkan lebih janaan," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau berkata lebih 4,000 pekerja dan 540 jentera EISB terus melakukan kerja-kerja kutipan sampah dan pembersihan di Kedah dan Perlis sepanjang Aidilfitri.
Semalam, EISB meraikan lebih 30 anak yatim dan kurang berkemampuan dari Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kedah menerusi majlis 'Ramadan Kita' untuk berbuka puasa.
Mohd Firdaus berkata program julung kali diadakan itu turut mendapat kerjasama McDonald's Malaysia berbesar hati menyumbang juadah berbuka kepada anak-anak PERKIM yang turut disertai Kelab Media Elit Kedah (KMEK).
"Majlis ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat EISB. Anak-anak PERKIM yang berumur sembilan hingga 17 tahun ini turut menerima sumbangan kuih dan duit raya daripada pihak syarikat," katanya.
Bagi Nurul Alya Natasya Najwa Said, 14, yang sudah bersama PERKIM hampir enam tahun berkata dia bersama abang dan adik lelakinya berasa gembira kerana menerima sumbangan duit raya selain dapat menikmati juadah berbuka puasa yang sedap.
"Kami kehilangan ibu bapa semasa kecil dan sekarang menetap bersama bapa saudara. Jadi, apabila ada sumbangan duit raya ini bolehlah kami adik beradik beli persiapan dan baju raya sedikit," katanya.
-- BERNAMA
#sampah #E-Idaman #Aidilfitri #sisa pepejal
;