E-dagang platfom terbaik wanita membina kerjaya - Rosmah
Bernama
Ogos 22, 2015 15:02 MYT
Ogos 22, 2015 15:02 MYT
Industri e-dagang atau perniagaan menerusi Internet merupakan platform terbaik bagi golongan wanita di negara ini untuk menunjukkan kemampuan dalam membina kerjaya, kata isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Katanya kesungguhan dan minat mendalam dalam bidang keusahawanan menerusi platfom itu mampu menjadi pemangkin untuk wanita berjaya, bukan sahaja di negara ini, malah mampu menembusi peringkat global.
"Sekiranya wanita ingin menjadi insan berjaya, mereka haruslah menyemai ciri-ciri daya saing, daya maju, optimis dan sentiasa kreatif.
"Sikap berani dan tidak takut untuk menghadapi risiko kegagalan itu adalah permulaan kepada sesebuah kejayaan," katanya semasa berucap melancarkan Konvensyen Ekonomi Wanita Cina Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata dagangan yang beroperasi melalui Internet bukan sahaja cekap dan berkesan, bahkan mengurangkan kos operasi, menjimatkan masa urus niaga dan meluaskan jalinan strategik antara peniaga.
Rosmah berkata syarikat antarabangsa seperti Alibaba, Amazon, eBay dan Walmart merupakan antara yang menerajui perniagaan menerusi Internet dan telah mengoptimumkan peluang menjana pendapatan menerusi platform itu.
Katanya senario sama turut wujud di negara ini dengan e-dagang berjaya menguasai pasaran domestik dengan trend terkini menunjukkan pengguna di negara ini gemar menggunakan Internet untuk melakukan pembelian.
"Melihat kepada kebolehpasaran dan potensi e-dagang itu sendiri, perniagaan atas talian telah menjadi satu fenomena dalam kalangan usahawan, khususnya usahawan wanita.
"Mereka menggunakan aplikasi popular untuk memasarkan pelbagai jenis produk seperti pakaian, aksesori wanita, barangan kraf, bahan-bahan ilmiah dan juga produk makanan di Instagram, Facebook dan juga blog," katanya.
Katanya kecenderungan itu disebabkan e-dagang lebih fleksibel dari segi waktu dan ruang, menjimatkan dan hanya menekankan pemikiran kreatif dan inovatif serta risiko yang rendah.
Konvensyen sehari anjuran Wanita MCA bersama Yayasan Pembangunan Wanita dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bertema 'e-trade-Global Fortune' itu bertujuan memperkasa wanita dalam bidang keusahawanan menerusi penggunaan Internet dan teknologi komunikasi dan maklumat.