E-bazar Sarawakku Sayang bantu usahawan PKS dan 'runner'

Astro Awani
April 26, 2020 14:18 MYT
Perkhidmatan E-Bazar Online Sarawakku Sayang ini boleh diakses dengan mudah iaitu dengan melayari laman Facebook dan tempahan dapat dilakukan secara terus di situ. -Gambar Astro AWANI
Perkhidmatan E-Bazar melalui Bazar Ramadan Online Sarawakku Sayang (BROSS) menerima sambutan yang menggalakkan terutamanya dalam kalangan peniaga Industri Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri itu.
Menurut Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil Sederdana Sarawak¸ Datuk Mohd Naroden Majais, perkara ini dapat memantapkan industri tersebut meskipun berdepan cabaran pandemik COVID-19.
“Sekiranya sambutan menggalakkan ini berterusan, BROSS akan lebih diyakini oleh para pelanggan dan ianya sudah pasti dapat diguna pakai pada masa hadapan
“Selain daripada boleh dimanfatkan pada masa perayaan, aplikasi ini juga dapat digunakan pada hari-hari kebiasaan seperti untuk menempah dan membeli barang keperluan di pasaraya,” kata Naroden.
Tambahnya lagi, pelaksanaan BROSS oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) ini juga bertujuan membantu peniaga menjana pendapatan.
Ini termasuk peniaga di luar bandar yang dapat memanfaatkan peluang ini untuk mengadaptasi cara hidup ‘normal baharu’ ini.
Sementara itu, jelas Ketua Penolong Setiausaha MINTRED, Awang Putrayusrie Awang Redzuan, platform tersebut membantu komuniti perniagaan secara menyeluruh.
Ujarnya, selain pengusaha, ia juga merangkumi para belia di negeri itu di mana majoriti mereka bertanggungjawab menjadi penghantar tempahan pelanggan.
“Selain pengamal digital, ianya juga dapat membantu usahawan dan penghantar makanan. Ini jelas menunjukkan platform ini menyeluruh dalam membantu masyarakat," kongsi Awang ketika ditemu bual Astro AWANI.
Jelasnya lagi, pelaksanaan platform atas talian ini adalah wajar bagi memastikan kestabilan ekonomi negara berada pada tahap optimum meskipun pada saat sukar ini.
Pada Sabtu, kerajaan negeri Sarawak telah memperkenalkan 11 E-Bazaar melalui BROSS yang boleh diakses melalui laman Facebook bagi memudahkan urusan jual beli sepanjang Ramadan ini.
Platform ini tersedia di beberapa kawasan iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Kapit, Mukah, Dalat, Bintulu dan Miri.
#Astro Awani #AWANI Sarawak #BROSS #Datuk Mohd Naroden Majais #E-Bazar Online #Industri Kecil dan Sederhana PKS #Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil Sederdana #MINTRED #Sarawakku Sayang
;