Dyson tamatkan hubungan dengan pembekalnya di Malaysia atas dakwaan buruh paksa

Agensi
November 25, 2021 14:51 MYT
Dyson, pengeluar pembersih vakum berteknologi tinggi menamatkan hubungannya dengan ATA IMS Bhd, pembekal produk itu di Malaysia berikutan keputusan audit yang dilakukan syarikat berkenaan baru-baru ini. - Foto REUTERS
Dyson, pengeluar pembersih vakum berteknologi tinggi menamatkan hubungannya dengan ATA IMS Bhd, pembekal produk itu di Malaysia berikutan keputusan audit yang dilakukan syarikat berkenaan baru-baru ini.
Amerika Syarika sebelum ini menyiasat ATA atas dakwaan buruh paksa terhadap syarikat itu namun ATA menafikan dakwaan sedemikian sebelum ini, lapor Reuters.
Saham syarikat itu yang yang membuat alat ganti untuk pembersih vakum dan penulen udara Dyson, jatuh 30 peratus ke paras terendah sejak April 2020 selepas laporan Reuters.
Menurut ATA, Dyson menyumbang hampir 80 peratus daripada pendapatannya.
Penamatan kerjasama itu merupakan tamparan buat Malaysia yang sebelum ini beberapa syarikatnya disiasat berhubung dakwaan eksploitasi warga asing.
BACA: CBP Amerika Syarikat kenakan larangan produk sawit Sime Darby
BACA: Top Glove perjelas tiada isu baharu berkaitan buruh paksa ditemukan
Pemilik Dyson, jutawan dari British, James Dyson berkata, beliau menerima keputusan audit berhubung cara kerja di ATA pada awal Oktober lepas.
“Kami kini telah menamatkan hubungan kami dengan notis kontrak selama enam bulan.
“Kami berharap ini memberi dorongan kepada ATA untuk menambah baik, dan membolehkan pengeluaran yang teratur demi kepentingan pekerja yang mereka ambil,” kata Dyson dalam satu kenyataan kepada Reuters.
ATA pada Mei menafikan dakwaan buruh paksa di kilangnya selepas seorang aktivis hak asasi terkemuka berkata pihak berkuasa AS akan meneliti amalan kerja di syarikat itu.
Aktivis tersebut, Andy Hall, berkongsi surat dihantar Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS memberitahunya CBP bersetuju untuk menyiasat ATA selepas dia membangkitkan aduan diterima daripada pekerja.
Bagaimanapun, CBP belum mengulas mengenai siasatan itu.
BACA: Supermax Corp pula disekat AS, harga saham merosot hampir 9%
BACA: RSPO mulakan siasatan dakwaan buruh paksa CBP terhadap Sime Darby Plantation
CBP telah melarang enam firma Malaysia dalam tempoh dua tahun lepas daripada menjual produk mereka ke Amerika Syarikat selepas menemui bukti berlakunya kegiatan buruh paksa.
Baru-baru ini, masing-masing pada Jun dan Julai, CBP AS menyekat Supermax Corp Bhd dan Smart Glove Holdings atas dakwaan sama.
Top Glove Corp Bhd turut dihalang oleh atas dakwaan serupa namun larangan itu ditarik balik selepas syarikat itu menyelesaikan isu dibangkitkan.
CBP sebelum ini turut melarang import daripada dua syarikat perladangan Malaysia, FGV Holdings Bhd dan Sime Darby Plantation Bhd.
#Dyson #buruh paksa #warga asing #CBP AS
;