DVS nafi keluarkan SKV bagi eksport produk makanan laut ke Turkiye

Bernama
September 10, 2024 10:45 MYT
DVS menjelaskan pemalsuan dokumen SKV boleh memberi implikasi negatif kepada reputasi jabatan, negara dan hubungan dagangan antarabangsa.
PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) nafi mengeluarkan Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) bagi produk makanan laut yang dieksport ke Turkiye.
Ia susulan pemakluman daripada pihak berkuasa Turkiye kepada jabatan itu mengenai dokumen SKV yang menggunakan nama dan cap DVS mengiringi produk makanan laut ke Turkiye.
"Perlu dijelaskan bahawa peruntukan kuasa di bawah Akta Binatang 1953 tidak merangkumi produk makanan laut. Oleh itu, DVS tidak mengeluarkan SKV bagi produk ini dan adalah menjadi tanggungjawab pengeksport untuk mendapatkan sijil kesihatan daripada pihak berkuasa berkaitan," menurut DVS dalam kenyataan hari ini.
Memandang serius perkara itu, DVS menjelaskan pemalsuan dokumen SKV boleh memberi implikasi negatif kepada reputasi jabatan, negara dan hubungan dagangan antarabangsa serta menegaskan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyalahgunakan nama dan cap jabatan.
Mana-mana individu yang melakukan pemalsuan atau membuat dokumen palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 463 atau 464 Kanun Keseksaan (Akta 574).
-- BERNAMA
#Turkiye #Sijil Kesihatan Veterinar #produk makanan laut #dokumen palsu
;