DVS bangunkan aplikasi MyFeed tingkatkan pengeluaran daging, susu

Bernama
September 13, 2024 22:45 MYT
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) membangunkan aplikasi mudah alih dikenali sebagai MyFeed bagi mengira dan merancang 'ration' atau catuan makanan harian yang lengkap untuk haiwan ternakan. - Foto Facebook DVS
SERDANG: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) membangunkan aplikasi mudah alih dikenali sebagai MyFeed bagi mengira dan merancang 'ration' atau catuan makanan harian yang lengkap untuk haiwan ternakan.
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (Pembangunan) Dr Suratan Kamarudin berkata aplikasi percuma itu menyediakan panduan tepat dan berkesan bagi menentukan catuan makanan yang sesuai berdasarkan parameter yang diperlukan.
Beliau berkata MyFeed dapat membantu penternak dalam meningkatkan kesihatan, produktiviti, dan kesejahteraan haiwan ternakan mereka hasil daripada peningkatan kecekapan, ketepatan serta ketersediaan maklumat berkaitan pengurusan nutrisi.
"Pemberian diet yang sihat dan sesuai kepada ternakan penting untuk memastikan daging dan susu berkualiti tinggi dapat dihasilkan," katanya selepas pelancaran Aplikasi MyFeed sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di sini hari ini.
Suratan berkata antara kelebihan aplikasi tersebut ia dapat digunakan di pelbagai peranti mudah alih dengan atau tanpa sambungan Internet.
Selain MyFeed, Suratan turut melancarkan Pelan Strategik Pembiakbakaan Ternakan Malaysia, Buku Panduan Permanian Beradas Pada Lembu, Katalog Pejantan Baka.
Beliau berkata pelan strategik ternakan itu adalah pendekatan dasar kerajaan dalam merancang hala tuju pembiakbakaan ternakan negara.
Pelan ini bertujuan meningkatkan kecekapan pengeluaran ternakan, mengurangkan kebergantungan kepada pengimportan ternakan dan produk berasaskan ternakan serta menjamin keselamatan makanan berasaskan ternakan untuk jangka masa panjang.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai MyFeed, Pengarah Bahagian Penyelidikan Veterinar Dr Rohana Abu Bakar berkata DVS mengambil masa lebih kurang enam bulan untuk membangunkan aplikasi tersebut dengan peruntukan kurang daripada RM50,000.
"Kita tidak ambil masa yang lama untuk membangunkan aplikasi ini kerana kita sudah menggunakan konsep dan formula yang sama sejak 2007 lagi...sebelum ini kita guna (Microsoft) Excel.
"Sekarang semua orang sudah menggunakan telefon pintar, jadi kita beralih ke arah itu sejajar dengan kecanggihan teknologi. Jadi, daripada Excel kita ubah ke aplikasi," katanya.
Rohana berkata DVS telah mula mengadakan bengkel pemindahan teknologi (TOT) kepada pegawai pengembangan untuk membimbing penternak di bawah pengawasan mereka.
"Sempena MAHA 2024, kita hendak ketengahkan untuk tarik lebih ramai penternak tampil menggunakan MyFeed ini...sebenarnya mereka pun dah minta dan ada juga yang telah mencuba aplikasi tersebut," katanya.
Beliau berharap dengan adanya aplikasi ini penternak dapat memenuhi keperluan nutrisi haiwan ternakan mereka yang secara tidak langsung akan meningkatkan hasil.
"Dalam aplikasi ini, kita tetapkan untuk kenaikan berat badan lembu sebanyak 500 gram sehari, jadi penternak akan dapat menganggarkan berapa jumlah nutrisi yang diperlukan haiwan ternakan itu untuk membolehkan mereka menghasilkan daging dan susu yang lebih," jelasnya.
MAHA 2024 berlangsung dari 11 hingga 22 September di di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dengan tema "Menuai Harapan, Membina Masa Hadapan" dan menyasarkan tiga juta pengunjung tahun ini.
-- BERNAMA
#Jabatan Perkhidmatan Veterinar #DVS #MyFeed #haiwan ternakan
;