Duta Palestin seru rakyat M'sia bantu isu keamanan, keselamatan di Al-Quds

Bernama
Ogos 20, 2023 20:20 MYT
Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali menyeru rakyat Malaysia supaya sentiasa memberikan penumpuan kepada isu utama di Palestin iaitu mengembalikan keamanan dan keselamatan di Al-Quds. - Foto fail/BERNAMA
KANGAR: Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali menyeru rakyat Malaysia supaya sentiasa memberikan penumpuan kepada isu utama di Palestin iaitu mengembalikan keamanan dan keselamatan di Al-Quds.
"Dalam hubungan ini, isu-isu sektarian seperti politik dalaman yang melibatkan para penduduk Palestin, tidak wajar menjadikan umat Islam terkeliru dalam membela serta mempertahankan nasib umat Palestin yang sedang berhadapan dengan situasi mencabar," katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada Ahad.
Walid juga menyeru agar masyarakat Malaysia menyalurkan sumbangan kepada Palestin melalui saluran rasmi seperti Wisma Putra bagi memastikan rakyat di negara itu menerima manfaatnya.
Menurut kenyataan itu, Walid mempersembahkan perkara berkenaan kepada Pemangku Raja Perlis Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail semalam bersempena dengan kunjungan beliau ke negeri itu.
Berangkat sama ke majlis itu ialah anakanda Pemangku Raja, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
-- BERNAMA
#Duta Palestin ke Malaysia #Walid Abu Ali #rakyat Malaysia #Al-Quds