Duta Palestin gesa pemimpin dunia bertindak segera untuk gencatan senjata dan bantuan kemanusiaan

Bernama
Oktober 24, 2023 20:06 MYT
Walid Abu Ali berkata, masyarakat antarabangsa perlu bersatu untuk menoktahkan penderitaan rakyat Palestin dan menyediakan bantuan yang diperlukan bagi mengurangkan krisis kemanusiaan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali menyeru para pemimpin dunia untuk menyegerakan usaha mencapai gencatan senjata dan membuka laluan selamat bagi bantuan kemanusiaan.
Beliau berkata masyarakat antarabangsa perlu bersatu untuk menoktahkan penderitaan rakyat Palestin dan menyediakan bantuan yang diperlukan bagi mengurangkan krisis kemanusiaan.
Ketika ini, kira-kira 2.3 juta penduduk di Gaza berjuang untuk memenuhi keperluan asas bagi meneruskan kehidupan.
Penduduk terus dihimpit kesukaran untuk mendapatkan akses kepada perubatan, elektrik dan bekalan air bersih.
"Penutupan Rafah Crossing Point memburukkan lagi krisis itu, menghalang pergerakan bantuan kemanusiaan selain menyebabkan penduduk Palestin tersisih. Serangan terbaru menyebabkan tiada lagi tempat selamat untuk berlindung, setiap meter persegi kawasan di Gaza kini terancam.
"Memandangkan situasi di Palestin terus meruncing, amat penting untuk masyarakat antarabangsa bertindak proaktif dalam usaha untuk menangani isu yang semakin mendesak ini.
"Rakyat Palestin juga manusia sama seperti kita semua...mereka bukan haiwan. Kami berhak untuk mendapat layanan yang sama rata sama seperti rakyat di negara lain di seluruh dunia," katanya ketika dihubungi Bernama.
Duta itu turut menyentuh mengenai sokongan rakyat Malaysia dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta usaha mengumpul dana berjumlah RM81 juta untuk membantu rakyat Palestin.
Beliau amat menghargai usaha mengadakan Perhimpunan Malaysia Bersama Palestin pada malam ini (24 Oktober) di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, yang bakal menyaksikan kira-kira 20,000 orang dijangka hadir untuk bersama-sama Perdana Menteri.
Walid yang akan turut sama menyertai perhimpunan itu berkata sokongan padu dan tidak berbelah bagi rakyat Malaysia terhadap rakyat Palestin sangat dihargai.
Sementara itu, Walid menggesa Mesir yang mengawal Rafah Crossing Point untuk menggunakan pengaruhnya dalam memudahkan koridor kemanusiaan yang akan membolehkan rakyat Palestin mendapat manfaat daripada bantuan yang dikumpulkan.
Duta itu turut memuji negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kerana menyuarakan sokongan terhadap Palestin ketika kezaliman Israel berterusan di Gaza, yang turut mengundang kebimbangan antarabangsa.
"Tindakan menjadikan orang awam sebagai sasaran secara sembarangan dan pelanggaran undang-undang antarabangsa satu perbuatan yang tidak boleh dibiarkan," katanya.
-- BERNAMA
#orang awam #oic #rakyat Palestin #koridor kemanusiaan
;