Duta Malaysia ke Indonesia, isteri positif COVID-19

Astro Awani
Mac 15, 2021 14:03 MYT
Datuk Zainal Abidin Bakar dan Datin Sakhiah Mohd Soom yang kini dirawat di sebuah hospital tentera di Jakarta, Indonesia semakin baik serta tiada apa-apa yang membimbangkan.
KUALA LUMPUR: Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Zainal Abidin Bakar dan isteri, Datin Sakhiah Mohd Soom dilaporkan positif COVID-19.
Kedua-dua mereka kini dirawat di sebuah hospital tentera di Jakarta sejak seminggu lalu.
Zainal Abidin difahamkan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sementara, Sakhiah ditempatkan di wad biasa.
Astro AWANI juga dimaklumkan, ketua perwakilan Malaysia itu diberi bantuan oksigen, namun, keadaannya semakin pulih dan tidak membimbangkan.
“Doktor melakukan pemantauan rapi ke atas Datuk Zainal dan Datin Sakhiah. Alhamdulillah, keadaan mereka berdua semakin baik dan tidak membimbangkan.
“Insya-Allah jika tiada aral melintang, mereka akan dibenarkan keluar hospital hujung minggu ini,” kata sumber Kedutaan Besar Malaysia ke Indonesia kepada Astro AWANI ketika dihubungi pada Isnin.
Sebelum ini, rakyat Malaysia yang menetap di Indonesia menerima mesej di aplikasi WhatsApp yang memaklumkan Zainal sedang menerima rawatan di ICU kerana positif COVID-19.
Mesej yang dikeluarkan pejabat Keduataan Besar Malaysia itu juga meminta semua pihak mendoakan kesejahteraan Zainal.
#Duta Besar Malaysia ke Indonesia #duta #Malaysia #Indonesia #Zainal Abidin Bakar #Sakhiah Mohd Soom #positif COVID-19 #hospital tentera #unit rawatan rapi #ICU
;