Duta Malaysia galakkan industri China manfaatkan Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024

Bernama
Mac 29, 2024 05:00 MYT
Pihak industri dari China digalakkan untuk memanfaatkan Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 (MCS 2024) yang akan berlangsung di sini pada bulan Disember depan bagi mengadakan sesi libat urus dengan sektor utama Malaysia.
KUALA LUMPUR: Pihak industri dari China digalakkan untuk memanfaatkan Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 (MCS 2024) yang akan berlangsung di sini pada bulan Disember depan bagi mengadakan sesi libat urus dengan sektor utama Malaysia, kata Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad.
Norman berkata sidang kemuncak itu akan menawarkan banyak peluang untuk menjalin dan meningkatkan perkongsian perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.
"Saya dimaklumkan bahawa sidang kemuncak itu adalah program terakhir untuk memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dan China, ia adalah antara beberapa program yang diadakan sepanjang tahun di Malaysia," katanya dalam ucapannya pada sesi jaringan (networking) MCS 2024 dan sesi libat urus bersama media di Beijing pada Rabu.
Norman berkata pencapaian 50 tahun dalam hubungan dua hala ini akan mendorong kedua-dua negara untuk melihat ke arah kemakmuran bersama bagi tempoh melebihi 50 tahun.
Beliau berkata terdapat banyak sebab bagi perniagaan dan pelabur China untuk mengutamakan kerjasama perdagangan yang dipertingkatkan dengan Malaysia terutamanya dengan rangka kerja dasar ekonomi luar negara yang kukuh dan komprehensif.
"Sebagai contoh, Malaysia sebagai pengeluar semikonduktor keenam terbesar di dunia, memberikan peluang besar untuk menjalinkan kerjasama dengan China. Peluang berkenaan merangkumi penyelidikan dan pembangunan sehingga pembuatan dan pengurusan rantaian bekalan.
"Memanfaatkan kepakaran semikonduktor Malaysia selain pasaran luas China dan kekuatan teknologi boleh memupuk sinergi, meningkatkan inovasi dan daya saing global," katanya.
Selain itu, Norman berkata kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN yang merupakan salah satu wilayah ekonomi yang paling pesat berkembang di dunia, pada masa sama boleh menyediakan akses China kepada pasaran lebih 650 juta orang, menyediakan peluang untuk pengembangan dan pertumbuhan.
Beliau berkata pengukuhan hubungan perdagangan dengan Malaysia menawarkan peluang kepada China untuk mempelbagaikan rakan perdagangannya dan strategi kepelbagaian ini boleh membantu mengurangkan ketidaktentuan perdagangan global.
Selain itu, beliau berkata lokasi Malaysia yang strategik dan kedudukannya sebagai peserta Inisiatif Belt and Road yang penting memberikan lebih banyak peluang untuk kerjasama terutamanya dalam projek pembangunan infrastruktur yang boleh meningkatkan kesalinghubungan dan memudahkan perdagangan antara kedua-dua negara dan pelbagai lagi.
"China dan Malaysia juga memiliki ekonomi pelengkap dengan kekuatan pembuatan China melengkapkan kepakaran Malaysia dalam sektor seperti elektronik, minyak sawit dan pelancongan.
"Kerjasama dalam teknologi dan inovasi boleh meningkatkan usaha China untuk memajukan keupayaan teknologinya.
"Ekosistem teknologi Malaysia yang semakin berkembang, tenaga kerja mahir dan dasar kerajaan yang menyokong menawarkan peluang untuk penyelidikan bersama, pembangunan dan pelaburan dalam teknologi baharu muncul," kata Norman.
-- BERNAMA
#Duta Malaysia #China #Sidang Kemuncak Malaysia-China #Norman Muhamad
;