Duta Jerman di Malaysia anggap twit Bung Mokhtar 'tidak masuk akal'

Agensi
Julai 9, 2014 14:39 MYT
Datuk Bung Mokhtar Radin, 55 mencetuskan kontroversi apabila mengaitkan kemenangan Jerman dengan Adolf Hitler
Duta Jerman di Malaysia, Holger Michael menyifatkan twit Ahli Parlimen Kinabatangan yang memuji Adolf Hitler selepas pasukan Jerman mengalahkan Brazil sebagai ‘tidak masuk akal’.
Datuk Bung Mokhtar Radin, 55 mencetuskan kontroversi apabila mengaitkan pasukan Jerman yang membelasah Brazil 7-1 dalam perlawanan separuh akhir bolasepak Piala Dunia 2014 awal pagi tadi dengan Adolf Hitler.
Memetik laporan AFP, Michael berkata kiasan begitu sememangnya tidak boleh diterima.
“Kami menghargai sanjungan beliau untuk pasukan bola sepak Jerman, namun kami menolak dan tidak dapat menerima tindakan beliau mengaitkan ianya dengan rejim fasis Adolf Hitler” kata Michael kepada AFP pada Rabu.
Twit Bung Mokhtar itu turut mendapat reaksi negatif daripada pengguna Twitter yang lain.
Bung Mokhtar bagaimanapun menyelar mereka yang mengkritiknya itu.
#Bung Mokhtar Radin #Holger Michael #Piala Dunia FIFA 2014