Duta Jepun ke Malaysia imbau kenangan dengan Salahuddin

Bernama
Julai 24, 2023 14:14 MYT
Duta itu mengimbau kembali perbincangan dengan Allahyarham pada Mac lalu dan berkongsi foto pertemuan mereka melalui akaun Twitternya.
KUALA LUMPUR: Duta Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada Ahad.
Duta itu mengimbau kembali perbincangan dengan Allahyarham pada Mac lalu dan berkongsi foto pertemuan mereka melalui akaun Twitternya.
"Saya sangat dukacita mendengar berita pemergian YB Datuk Seri Salahuddin bin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. Saya masih ingat perbincangan saya dengannya pada Mac.
"Takziah kepada keluarga beliau," katanya.
Salahuddin, 61, menghembuskan nafas terakhir pada 9.23 malam di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.
Dilahirkan pada 1 Dis 1961, Salahuddin dilantik menganggotai Kabinet sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dari 2018 hingga 2020.
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 19 Nov tahun lalu, Ahli Parlimen Pulai itu dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
-- BERNAMA
#Salahuddin Ayub #meninggal dunia #Duta Jepun #Takahashi Katsuhiko
;