Duta China bertemu Pemangku Menteri Luar

Bernama
September 28, 2015 17:55 MYT
Wisma Putra dalam kenyataan semalam berkata pihaknya akan memanggil Huang untuk mendapatkan penjelasan mengenai kenyataan yang dibuat semasa melawat Jalan Petaling di Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto EPA
Duta China di Malaysia, Huang Huikang mengadakan pertemuan dengan Pemangku Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin di sini hari ini, disebalik timbul tanda tanya sama ada beliau dipanggil berhubung kenyataannya mengenai Jalan Petaling baru-baru ini.
Huang yang diiringi seorang pembantu, tiba untuk bertemu Hamzah yang merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, pada kira-kira 11.35 pagi di bangunan kementerian diterajui Hamzah itu.
Butiran pertemuan itu tidak dapat diperolehi susulan cubaan untuk mendapatkan ulasan daripada Huang berhubung pertemuan itu gagal apabila beliau mengelak berjumpa wakil media yang menunggu di lobi bangunan itu dengan menggunakan pintu keluar yang lain apabila beredar dari bangunan itu pada kira-kira 2 petang.
Pegawai Hamzah berkata Hamzah tidak akan mengeluarkan kenyataan berhubung pertemuan itu dan Wisma Putra yang akan berbuat demikian.
Wisma Putra dalam kenyataan semalam berkata pihaknya akan memanggil Huang untuk mendapatkan penjelasan mengenai kenyataan yang dibuat semasa melawat Jalan Petaling di Kuala Lumpur pada Jumaat.
"Semasa lawatan itu, beliau telah ditemu bual oleh pihak media dan kenyataan media beliau telah menarik perhatian serta menimbulkan perasan kurang senang dalam kalangan orang awam.
"Kementerian berharap perjumpaan ini akan dapat membantu menjelaskan perkara itu," menurut kenyataan itu.
Pertemuan itu yang dijadual berlangsung di Wisma Putra, di sini hari ini bagaimanapun tidak diadakan, dan mendorong wakil media yang menunggu sejak pukul 7 pagi bergegas ke kementerian Hamzah selepas mereka dimaklumkan mengenai pertemuan Huang dengan Hamzah.
Pada satu majlis di Kuala Lumpur sebelum itu, Huang menafikan beliau dipanggil oleh Wisma Putra.
Bagaimanapun, pegawai Wisma Putra semasa dihubungi hari ini berkata arahan untuk memanggil Huang memberikan penjelasan belum dibatalkan.
#China #Hamzah Zainuddin #Huang Huikang #Jalan Petaling #Malaysia #Petaling Street #Wisma Putra
;