Duta Besar: Tingkat kerjasama Malaysia dengan Mesir, Oman, Lubnan - Hadi

Bernama
Julai 25, 2021 21:08 MYT
Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kerjasama Malaysia dengan Mesir, Oman dan Lubnan daripada aspek agama, pendidikan dan ekonomi, penting ke arah mencapai kedudukan negara Islam yang maju dan kuat. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Duta Besar Malaysia ke Mesir, Oman dan Lubnan yang baharu dilantik, diminta berusaha meningkatkan kerjasama Malaysia dengan ketiga-tiga negara Timur Tengah itu berkaitan kepentingan bersama.
Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kerjasama Malaysia dengan Mesir, Oman dan Lubnan daripada aspek agama, pendidikan dan ekonomi, penting ke arah mencapai kedudukan negara Islam yang maju dan kuat.
Sambil mengucapkan tahniah kepada Zamani Ismail yang dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Mesir, Shaiful Anuar Mohammad (Oman) dan Azri Mat Yacob (Lubnan), Abdul Hadi berkata pelantikan mereka amat penting kepada negara dari sudut hubungan antarabangsa.
"Saya berdoa dengan pertolongan Allah, mudah-mudahan Duta-Duta Besar Malaysia ke Timur Tengah yang baharu ini, dapat menjalankan tugas dengan baik," katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya hari ini susulan perbincangan dengan ketiga-tiga duta besar itu melalui sidang video pagi tadi.
Abdul Hadi juga percaya, pengalaman luas ketiga-tiga Duta Besar itu dalam lapangan diplomatik akan membantu mereka mencapai kejayaan dalam tugasan untuk Malaysia.
-- BERNAMA
#Duta Besar Malaysia #Mesir #Oman #lubnan #kerjasama #Timur Tengah #Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah #Abdul Hadi Awang #Zamani Ismail #Shaiful Anuar Mohammad #Azri Mat Yacob
;