Duta Besar Sweden ke Malaysia kagum keprihatinan Pemangku Raja Perlis terhadap masyarakat memerlukan
Bernama
Julai 3, 2024 23:07 MYT
Julai 3, 2024 23:07 MYT
KANGAR: Duta Besar Sweden ke Malaysia Dr Joachim Bergstrom kagum akan keprihatinan Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang mendalam terhadap nasib masyarakat yang memerlukan di Perlis.
Kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini memaklumkan Bergstrom percaya bahawa usaha menyalurkan bantuan dan menyantuni penduduk kampung akan memberikan kesan besar kepada mereka terutamanya penduduk setempat.
"Saya percaya usaha-usaha menyalurkan bantuan dan membawa pegawai kesihatan seperti doktor untuk menyantuni dan merawat penduduk kampung ini akan memberi impak yang besar khususnya kepada penduduk setempat," kata Bergstrom menerusi kenyataan itu.
Bergstrom juga menyatakan beliau amat berbesar hati kerana dapat turut serta dalam Kayuhan MAIPs Peduli bersama Tuanku Syed Faizuddin Putra di sekitar Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis pada Isnin lepas.
"Duta Besar Sweden ke Malaysia itu juga tertarik dengan kronologi bagaimana sebuah kampung nelayan yang telah ditransformasi menjadi salah satu tarikan utama pelancongan negeri dengan mencantikkan bangunan lama dan rumah-rumah kampung menjadi berwarna-warni dan indah," menurut kenyataan itu.
Kenyataan tersebut memaklumkan Bergstrom turut teruja dengan semangat kekitaan dan kebersamaan sepanjang kayuhan bersama Pemangku Raja Perlis itu.
Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs berupa wang tunai RM700, Kits MAIPs Peduli dan beras fidyah masing-masing kepada asnaf terpilih dalam kayuhan itu iaitu Nordin Yusoff, 65, Ismail Saidin, 58, dan Ibni Razak, 65, dari Kampung Pulau Ketam di Kuala Perlis.
Bergstrom berada di Perlis dari 30 Jun hingga semalam dalam lawatan rasminya ke negeri itu untuk menghadiri Majlis Syarahan Umum oleh Duta Besar Sweden berkenaan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Arau pada pagi Isnin lepas sebelum kayuhan itu pada sebelah petang.-- BERNAMA