Duta Besar Korea Utara biadab - Hishammuddin

Bernama
Februari 23, 2017 20:53 MYT
HISHAMMUDDIN: Duta Besar Korea Utara di Malaysia Kang Chol biadap dalam mengeluarkan kenyataannya berhubung kes pembunuhan Kim Jong-nam. - Gambar fail
Duta Besar Korea Utara di Malaysia Kang Chol biadab dalam mengeluarkan kenyataannya berhubung kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi negara itu, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau melihat Kang Chol bertindak 'melebihi apa yang dipertanggungjawabkan terhadapnya sebagai duta'.
"Bagi saya, ia melangkaui batasan diplomatik dan saya fikir duta itu biadap dalam memberi komennya berhubung perkara ini. Sebagai bekas menteri (Dalam Negeri), saya percaya semua penyiasatan yang berkaitan dengan perkara ini dijalankan dengan baik oleh pihak polis," katanya.
Beliau mengulas dakwaan Kang Chol baru-baru ini kononnya Malaysia cuba menyembunyikan sesuatu dan bersekongkol dengan 'kuasa-kuasa seterunya' dalam penyiasatan kes berkenaan.
Hishammuddin berkata demikian pada sidang media selepas menyambut ketibaan kapal Nautical Aliya yang membawa misi kemanusiaan Food Flotilla For Myanmar di Boustead Cruise Centre di sini, hari ini.
BACA: Kekebalan diplomatik bukan alasan tidak bantu siasatan - Khalid
BACA: Korea Utara dakwa PDRM sembunyi sesuatu
Sebelum ini, Kerajaan Malaysia menolak dakwaan tidak berasas duta itu.
Pada 13 Feb lepas, Jong-nam yang merupakan abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) pada 8 pagi untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila dua wanita didakwa menyapu muka mangsa dengan tangan mereka yang dipercayai telah disembur bahan beracun.
Jong-nam, yang memasuki negara ini dengan menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata sebarang siasatan kes jenayah adalah bersandarkan kepada undang-undang negara di mana jenayah itu berlaku dan bukannya berdasarkan undang-undang lain.
Beliau berkongsi pengalamannya ketika siasatan insiden pesawat Malaysia Airlines MH370 hilang pada 8 Mac 2014 dan pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014, di mana Malaysia ketika itu berdepan dengan pelbagai tuduhan dan tekanan.
"...tetapi, kalau kita ikhlas, jujur dan bersandarkan pada fakta serta bukti yang ada, tiada siapa boleh menuduh kita salah gunakan kuasa atau tidak melakukan sesuatu untuk mencari keadilan yang sebenar," katanya.
Mengenai tekanan yang berterusan terhadap negara ini berhubung siasatan kes pembunuhan Jong-nam, Hishammuddin berkata Malaysia tidak perlu bimbang sekiranya ia berada di landasan yang betul.
"Kita berpegang kepada pendirian kita, tidak perlu berganjak. Kalau dia (Korea Utara) mungkin ada pendirian yang lain, tetapi kalau kita berada di landasan yang betul dan benar, apa yang kita nak takutkan?
"Kita berpegang kepada undang-undang negara kita, maruah kita, kedaulatan kita untuk cari kebenaran dan mencari keadilan, itulah yang dilakukan mereka (pihak berkuasa Malaysia).
"Kalau mereka rasa ini salah, buktikan kepada dunia tetapi inilah yang perlu (pihak berkuasa Malaysia) lakukan berdasarkan kepada kejadian yang berlaku di sini," katanya.
-- BERNAMA
#Hishammuddin #kim jong nam #Korea Utara #PDRM
;