Duta Besar cerita cabaran proses repatriasi rakyat Malaysia dari Arab Saudi
Fareez Azman
Ogos 9, 2020 07:33 MYT
Ogos 9, 2020 07:33 MYT
SEBANYAK 11 penerbangan khas membawa pulang rakyat Malaysia dari Arab Saudi ketika pandemik COVID-19 melanda dunia sejak Mei lalu.
Kejayaan itu atas inisiatif Kedutaan Besar Malaysia di Arab Saudi dengan bantuan dari kerajaan Arab Saudi menerusi syarikat penerbangan Saudia Airlines.
Menurut Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Abd Razak Abdul Wahab, kerjasama erat antara Malaysia dan Arab Saudi banyak membantu rakyat Malaysia untuk pulang ke tanah air meskipun ketika kes COVID-19 memuncak di negara itu pada Mei dan Julai lalu.
"Kita telah berjaya membuat 11 penerbangan membawa rakyat Malaysia pulang ke tanah air, akhir sekali penerbangan sebuah pesawat pada 23 Julai lalu membawa 1,624 orang berjaya dilakukan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Ketika ini, kerajaan Arab Saudi ujarnya masih mengenakan peraturan seumpama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia, sekatan jalan raya dan tempoh perniagaan dipendekkan kepada jam 6.00 petang waktu tempatan.
Ia sekali gus memberi cabaran buat kedutaan Malaysia untuk meneruskan proses repatriasi membawa pulang rakyat keluar dari negara teluk itu.
"Kerajaan Arab Saudi mengadakan sekatan atau pergerakan khususnya tempoh pergerakan untuk seluruh di Saudi bukan hanya untuk orang luar tetapi untuk rakyat Malaysia juga.
"Bila buat proses repatriasi, ini satu cabaran untuk kita, jadi kita terpaksa berbincang dan minta kelulusan khas untuk membawa rakyat Malaysia.
"Kadang kala pihak kedutaan tidak boleh menentukan bila waktu penerbangan, ia bergantung kepada syarikat penerbangan terbabit.
"Contoh apabila ditetapkan jam 11.00 malam, curfew di sini sampai jam 6 petang sahaja; siapa keluar kena tangkap.
"Ini satu cabaran kita berhubung dengan pihak berkuasa. Malah kita sediakan bas sebab tiada pengangkutan awam nak ke lapangan terbang, kalau ada kereta sewa atau kereta kawan pun susah, sebab perlu permit dan sebagainya.
"Jadi kita (kedutaan) buat 'point-point' tertentu berdekatan dengan rumah rakyat Malaysia, pada masa sama kita keluarkan surat kebenaran menyatakan mereka ini perlu ke lapangan terbang.
"Bukti seperti tiket penerbangan perlu ditunjukkan kepada pihak berkuasa jika diminta," katanya.
Selain menyediakan bas yang disewa khas, Kedutaan Malaysia turut menggunakan kenderaan rasmi untuk mengambil rakyat Malaysia di beberapa kawasan yang terpencil.
Pada masa sama, tambah Abdul Razak, setiap masa pihaknya sentiasa berhubung rapat dengan pelajar serta rakyat Malaysia yang masih berada di negara itu.
Sebarang arahan mahupun pesanan turut disampaikan menerusi platform sosial media seperti Facebook, Twitter dan Instagram Kedutaan Malaysia kepada setiap rakyat Malaysia.
Menurutnya, sehingga kini, sebanyak 70 rakyat Malaysia yang bekerja di Arab Saudi ditamatkan kontrak akibat pandemik itu.
Kedutaan, jelasnya, terus menyalurkan bantuan termasuk repatriasi mereka pulang.
"Setakat ini, ada lebih kurang 70 orang rakyat Malaysia yang pekerjaan mereka ini juruterbang dan pembantu juruterbang serta staf syarikat penerbangan ditamatkan kontrak mereka lebih awal sebab COVID-19.
"Alhamdulilah, setakat ini kita dapat membantu mereka apabila hilang pekerjaan dan sebagainya kita masukkan mereka ini dalam proses repatriasi bawa pulang ke Malaysia," katanya.
Arab Saudi merupakan antara negara timur tengah yang paling teruk terjejas akibat Pandemik COVID-19.
Sehingga kini, sebanyak 287,262 kes COVID-19 dicatatkan di negara ini, dengan 33,622 kes aktif dan 1,468 kes baharu pada Sabtu.
#Arab Saudi
#Astro Awani
#Buang kerja
#cabaran
#COVID-19
#Datuk Abd Razak Abdul Wahab
#Duta Besar
#Facebook
#Instagram
#Kedutaan Besar Malaysia ke Arab Saudi
#kerajaan
#Malaysia
#pandemik
#pelajar
#PKP
#Proses repatriasi
#rakyat Malaysia
#Twitter