Duta asing dinasihat berhati-hati keluar kenyataan berkaitan Palestin

Bernama
Ogos 30, 2024 18:45 MYT
Mohamad berkata walaupun pandangan dibuat berdasarkan asas negara diwakili, namun mereka perlu mengetahui dan menyedari sentimen rakyat di negara ini yang menentang sekeras-kerasnya genosid di Palestin. -Gambar fail/Bernama
REMBAU: Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menasihatkan duta asing di negara ini supaya lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan berkaitan isu Palestin yang boleh menyentuh sentimen rakyat Malaysia.
Mohamad berkata walaupun pandangan dibuat berdasarkan asas negara diwakili, namun mereka perlu mengetahui dan menyedari sentimen rakyat di negara ini yang menentang sekeras-kerasnya genosid di Palestin.
"Saya kesal dengan apa diperkatakan (dalam wawancara portal media tempatan bersama Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia)...walaupun pandangan itu bagi pihak negara beliau, tetapi jangan sampai memperkecilkan pandangan dunia tentang kekejaman dan pembunuhan rakyat Palestin yang tidak berdosa termasuk wanita dan kanak-kanak," katanya.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian kepada pemberita pada program Ziarah Kasih di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota.
Beliau mengulas kenyataan Duta Amerika Syarikat, Edgard D Kagan bertajuk "Bekal senjata dan perdamaian: Duta AS ulas konflik Asia Barat" menerusi wawancara dengan media portal tempatan baru-baru ini.
Mohamad berkata pandangan itu di luar batasan perikemanusiaan.
"Walaupun (mereka) nak menyokong Israel rakan sekutu, tapi tidaklah sampai boleh mengatakan bahawa itu (genosid di Palestin) perkara biasa.
"Saya harap supaya duta-duta asing berada di negara ini lebih berhati-hati walaupun bercakap atas asas negara mereka," katanya.
-- BERNAMA
#Mohamad Hasan #Palestin #Edgard D Kagan #Duta AS